MAJLIS menandatangani MoU dicapai untuk menerokai peluang ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
MAJLIS menandatangani MoU dicapai untuk menerokai peluang ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

UEM Sunrise Berhad, pemaju hartanah terkemuka di Malaysia menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melalui dua anak syarikat milik penuhnya, Petronas Global Technical Solutions Sdn Bhd (PGTSSB) dan Gentari Sdn Bhd (Gentari).

Ia untuk menerokai peluang ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui, tenaga dan mobiliti hijau serta pembangunan bandar pintar dan mampan untuk masa hadapan.

UEM Sunrise dan Petronas juga merancang untuk menuju ke arah matlamat bersama dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, dengan memanfaatkan teknologi, kepakaran dan sumber masing-masing untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, bandar pintar lestari dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, kerjasama terbabit merangkumi penyelesaian lestari sedia ada serta penyelesaian terkini dalam pembangunan syarikat, di mana UEM Sunrise adalah pemaju hartanah pertama yang bekerjasama dengan dua anak syarikat Petronas.

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan korporat yang mempunyai hala tuju yang sama seperti PGTSSB dan Gentari ke arah matlamat bersama untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

"Dengan kolaborasi yang strategik ini, saya yakin bahawa kita menuju ke arah yang tepat untuk mencapai matlamat kami dan ini titik permulaan kepada kolaborasi yang saling menguntungkan di samping membawa nilai mampan jangka panjang untuk seluruh komuniti," katanya.

Dalam jangka masa terdekat, kolaborasi bersama Gentari akan memberi tumpuan kepada penyelesaian karbon rendah, termasuk stesen pengecas EV dan forecourt elektrik di pembangunan UEM Sunrise serta ladang suria di tanah UEM Sunrise.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 7:00 AM