Mohamad Efindy Mohamad Saleh, 37 (kiri) mengalihkan peralatan kedai ke tempat lebih selamat selepas kedainya dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Alor, Surau Panjang. Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilanda banjir. FOTO GHAZALI KORI

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 2,252 mangsa terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang ini.

Semua mangsa daripada 613 keluarga ditempatkan di 15 PPS di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu dan Marang.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 992 orang.

Kesemua mangsa daripada 261 keluarga itu kini ditempatkan di tujuh PPS di daerah berkenaan.

Jumlah mangsa di Kuala Terengganu turut meningkat kepada 665 mangsa daripada 194 keluarga di empat PPS berbanding hanya 574 mangsa membabitkan 173 keluarga pagi tadi.

Mangsa yang terjejas dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.

Di Marang, dua PPS iaitu SK Bukit Gasing dan SK Rusila diaktifkan secara berperingkat bermula malam tadi bagi menempatkan 569 mangsa daripada 152 keluarga.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Setiu kekal seramai 26 mangsa daripada enam keluarga.

Mereka ditempatkan di di PPS Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 3:53 PM