Pengarah Jabatan JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din. FOTO arkib NSTP
Pengarah Jabatan JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suspek utama bergelar Datuk Seri dan individu lain yang terbabit dalam penipuan skim pelaburan saham sudah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sehingga kini, polis menerima 19 laporan membabitkan kerugian sebanyak RM3 juta.

"Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini menawarkan pembelian saham syarikat yang didakwa patuh syariah.

"Pelabur dijanjikan faedah sebanyak empat peratus setiap bulan dan wang pelaburan pokok akan dipulangkan selepas kontrak pelaburan tamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, bagaimanapun, faedah itu hanya dibayar pada peringkat awal pelaburan sebelum pihak syarikat menghilangkan diri.

"Polis mengingatkan orang ramai untuk memberikan perhatian dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM), Security Commission (SC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan semakin ramai golongan profesional tampil membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu pasangan bergelar Datuk Seri dan Datin Seri.

Ia susulan pendedahan Harian Metro berhubung penipuan pembelian saham dengan tawaran dividen empat peratus setiap bulan oleh syarikat milik pasangan terbabit sebelum ini.

Kebanyakan mangsa mengakui tertarik dengan imej menarik, warak dan layanan mesra pasangan itu kepada setiap pelabur yang datang ke pejabat mereka di Desa City Park, di sini.

Mangsa mendakwa, lebih 400 individu di seluruh negara kerugian RM54 juta membabitkan golongan profesional, doktor, polis dan pesara akibat ditipu pasangan suami isteri itu.

Datuk Seri berusia 40-an yang juga bekas pengurus pemasaran kanan didakwa menyediakan bunga serta coklat bagi mengambil hati pelabur baharu untuk melabur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 10:31 PM