GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


TERTARIK dengan skim pelaburan saham yang sebenarnya tidak wujud menyebabkan lima individu kerugian RM780,000 selepas diperdaya sebuah syarikat herba beroperasi di Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, pihaknya menerima lima laporan sejak Januari lalu daripada mangsa berasal dari Kulim.

Katanya, mangsa berusia 48 hingga 71 tahun terdiri pekerja kilang, jurusolek dan pesara swasta dengan kerugian terbesar dialami seorang daripada mangsa RM200,000 tanpa mendapat sebarang pulangan.

“Mereka melabur antara RM60 hingga RM200,000. Syarikat didaftarkan di Kuala Lumpur dan beroperasi di Pulau Pinang itu mula menawarkan skim berkenaan sejak tahun lalu.

“Mangsa ditawarkan saham dalam syarikat berkenaan dengan dijanjikan pulangan jika melabur.

“Selain itu, mangsa juga ditawarkan jawatan sebagai perunding untuk produk syarikat dan dijanjikan bayaran RM6,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti tidak dikawal selia Bank Negara Malaysia.

“Mereka perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika meragui sebarang skim ditawarkan.

“Orang ramai juga dinasihati merujuk kepada Investor Alert dan maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau menghubungi JSJK Kedah di talian 04 7741354 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 5:52 PM