Ustaz Ebit Lew menyediakan sebuah rumah sewa dua tingkat di Tumpat, Kelantan, dan membelikan kelengkapan rumah untuk lima beranak yang sebelum ini tinggal dalam kandang lembu di Kampung Kuala Besar, Kota Bharu. FOTO FB Ebit Lew
Ustaz Ebit Lew menyediakan sebuah rumah sewa dua tingkat di Tumpat, Kelantan, dan membelikan kelengkapan rumah untuk lima beranak yang sebelum ini tinggal dalam kandang lembu di Kampung Kuala Besar, Kota Bharu. FOTO FB Ebit Lew
Raja Noraina Raja Rahim


NASIB lima beranak yang tinggal dalam kandang lembu di Kampung Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan, mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew yang membantu mendapatkan rumah sewa.

Bantuan diberikan penceramah terkenal terbabit selepas beliau menziarahi keluarga itu semalam.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini, Ebit berkata, beliau sebak sebaik terbaca mengenai kedaifan keluarga itu di akhbar.

"Terkejut tengok lapan tahun tinggal di kandang lembu. Dibersih dijadikan tempat tinggal. Tak sangka ada orang tinggal tempat macam kandang atau reban.

"Sampai petang ini (semalam) happy (gembira) keluarga ini. Di sebalik wajah mereka betapa kasihan anak ini. Rumah ini buat hati sayu, duhai hati betapa berbeza hidup mereka dengan kita," katanya.

Berikutan itu, beliau membantu mendapatkan rumah sewa buat keluarga itu di Tumpat, selain turut menyediakan kelengkapan rumah.

"Syukur Alhamdulillah hari ini kami dapat pindahkan keluarga ini ke rumah dua tingkat cantik sangat di Tumpat. Saya dah bayar deposit dan akan bayar bulan-bulan Insya Allah.

"Saya belikan untuk mereka peti ais, mesin basuh, rice cooker (periuk nasi), kipas dan lain-lain. Beri sedikit duit belanja. Semoga menjadi asbab kebaikan," katanya.

Harian Metro pada 25 Jun lalu melaporkan, lima beranak dari Kampung Kuala Besar, Badang di Kota Bharu terpaksa menjadikan kandang lembu tempat untuk mereka berteduh selepas rumah yang didiami terbakar sejak lapan tahun lalu.

Lebih menyedihkan lagi, kandang lembu yang dijadikan 'syurga' untuk mereka sekeluarga terlalu daif selain ada ruang yang terlalu sempit sehingga terpaksa menundukkan kepala setiap kali masuk ke dalam pondok.

Bahkan, lantai kayu yang suatu ketika dahulu tempat dijadikan pembuangan najis lembu kini dijadikan alas tidur mereka sekeluarga.

Nasarudin Mat Ali, 39, bersama isteri Nur Syazana Ali, 30, dan tiga anak mereka iaitu Mohamad Hakimi Nasarudin, 13; Nor Najwa Balkis, 8; dan Naufal Basri, 4, tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya sebelum rumah yang didiami terbakar pada 2012.

Berita berkaitan

  • Kandang lembu ini syurga kami [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:17 PM