ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung selar yang berjaya di tangkap di sebuah kedai memproses ayam segar di Jalan Rambong, Pulai. FOTO/IHSAN APM
ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung selar yang berjaya di tangkap di sebuah kedai memproses ayam segar di Jalan Rambong, Pulai. FOTO/IHSAN APM
Safuri Kamarudin


“KETIKA membuka pintu kedai untuk memulakan perniagaan, saya terkejut melihat kelibat ular tedung selar bawah kusyen dipercayai menyorok di situ, sejak semalam.

“Saya nampak ekor ular bergerak bawah kusyen, lalu saya menunggu rakan tiba kerana bimbang waktu itu agak gelap,” kata Zuhairi Salleh, 36.

Zuhairi, dari Jalan Rambong, Pulai berkata, ular tedung itu disedari masuk dan bersembunyi dalam kedai memproses ayam segar tempat dia bekerja itu pada 5.15 pagi tadi.

Beliau berkata, sebelum itu ada rakan memaklumkan ternampak ular di kawasan luar dan tidak menyangka ia menyusur masuk kedai itu.

“Saya memang berasa tidak sedap hati ketika hendak masuk ke kedai dan akhirnya

saya ternampak juga kelibat ular berkenaan.

“Selepas itu saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menangkap ular tedung selar,” katanya.

Zuhairi berkata, mujurlah dia sedar lebih awal ular itu menyorok bawah kusyen tempat mereka berurusan dengan pelanggan.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan 5.20 pagi dan sampai ke lokasi 10 minit kemudian.

Beliau berkata, empat anggota mengambil masa 20 minit untuk menangkap seekor ular tedung selar di dalam kedai itu.

Beliau berkata, ular seberat sepuluh kilogram dan panjang lima meter berjaya ditangkap oleh anggota APM.

“Ular itu dipercayai keluar mencari makanan seperti tikus atau katak di kawasan kedai berkenaan selain perubahan cuaca,” katanya.

Justeru, orang ramai perlu berhati-hati apabila terserempak dengan ular berbisa di kawasan rumah dan segera menghubungi APM di talian 04-4701626 atau 999.

Menurutnya, ular tedung selar diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN ) sebelum di hantar ke habitat asal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 1:30 PM