MOHAMAD Sabu (tengah) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti AMANAH Kawasan Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
MOHAMAD Sabu (tengah) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti AMANAH Kawasan Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat keputusan 'siapa' individu sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun ada meletakkan harapan jawatan itu disandang dalam kalangan pemimpin mahupun ahli parti itu, namun Anwar lebih berhak dalam menentukan kabinet pimpinannya.

"Itu (soal lantikan Menteri KPDN) serah kepada Perdana Menteri kerana beliau mempunyai kuasa segalanya (dalam pembentukan kabinet).

"Jika diikutkan, nama di kalangan semua ahli AMANAH layak menjadi (Menteri KPDN) yang kami ada 200,000 ahli secara keseluruhannya dan mereka semua layak. Kita mengharap tetapi soal ini adalah hak PM kerana PM menentukan kabinetnya," katanya selepas ditanya jika terdapat individu dalam AMANAH yang akan dilantik sebagai Menteri KPDN menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia, 23 Julai lalu.

Terdahulu Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Kepala Batas di Dewan Bakau Tua, Penaga, di sini, malam tadi.

Ketika ini,portfolio Menteri KPDN dipangku oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 12:08 PM