ALLAHYARHAM Datuk Seri Salahuddin Ayub. FOTO Ihsan FB Datuk Seri Anwar Ibrahim
ALLAHYARHAM Datuk Seri Salahuddin Ayub. FOTO Ihsan FB Datuk Seri Anwar Ibrahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub disifatkan sebagai sosok yang kuat bekerja dan taat pada amanah serta tanggungjawab.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemergian Salahuddin adalah satu kehilangan besar buat dirinya dan keluarga.

"Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.

"Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyifatkan jasa Salahuddin amat besar apabila mencetuskan konsep Payung Rahmah, Menu Rahmah, Jualan Rahmah dan banyak lagi untuk membantu mengurangkan beban rakyat.

"Dalam politik, saya akan sentiasa kenang saat-saat indah, perit, senang dan susah terutama dalam Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH). Anda akan sentiasa dirindui, wahai kawan. You will be missed, dear friend.

"Semoga segala usaha, jasa dan bakti Allahyarham dibalas dengan ganjaran pahala yang besar," katanya.

Selain itu, PAS Pusat menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pemergian Salahuddin sebagai satu kehilangan besar buat negara.

"Meskipun berbeza wadah perjuangan, jasa serta sumbangan beliau dalam PAS akan sentiasa dikenang.

"Semoga Allah memberikan ketabahan dan kemudahan buat seluruh keluarga Allahyarham," katanya.

Beberapa pemimpin politik turut menzahirkan kesedihan dengan atas pemergian Salahuddin termasuk Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah jam 9.23 malam tadi selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan di bahagian otak, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 10:44 PM