OTHMAN dihantar ke Penjara Sungai Udang, selepas mahkamah tidak memberikan jaminan atas pertuduhan cabul anak teman wanita. FOTO Alias Abd Rani.
OTHMAN dihantar ke Penjara Sungai Udang, selepas mahkamah tidak memberikan jaminan atas pertuduhan cabul anak teman wanita. FOTO Alias Abd Rani.
Alias Abd Rani


Muar: Seorang bekas pemandu bas ekspres yang menghidap strok ringan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan kelucahan melampau terhadap anak teman wanitanya, sejak enam tahun lalu.

Tertuduh, Othman Ludin, 56, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa yang ketika itu berusia lapan tahun di sebuah rumah di Parit Jawa, di sini pada Disember 2019 dan 2021.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memaksa mangsa melakukan oral seks sejak Mei hingga 2017 dengan kesalahan mengikut Seksyen 377C, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Semua kesalahan berlaku di tempat sama iaitu sebuah rumah di Parit Jawa, di sini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukannya sangat serius kerana membabitkan kanak-kanak.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Susulan tiada jaminan ditawarkan tertuduh, akan dihantar ke Penjara Sungai Udang sementara menunggu kes disebut semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 3:48 PM