Polis berkawal di sekitar Moscone Center, lokasi Mesyuarat kali ke-30 forum APEC yang dijadual berlangsung dari 14-17 November. - FOTO Sharanjit Singh
Polis berkawal di sekitar Moscone Center, lokasi Mesyuarat kali ke-30 forum APEC yang dijadual berlangsung dari 14-17 November. - FOTO Sharanjit Singh
Sharanjit Singh


San Francisco: Walaupun kawalan keselamatan diperketat menjelang Mesyuarat ke-30 pemimpin Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, masih ada juga kejadian tidak diingini seperti krew media Czech yang dirompak.

Mereka dirompak kira-kira jam 5 petang Ahad lalu ketika membuat penggambaran di sekitar bandar raya ini menjelang permulaan sidang kemuncak itu.

Wartawan Bohumil Vostal memberitahu akhbar San Francisco Chronicle, beliau sedang membuat penggambaran sekitar City Lights Bookstore apabila dihampiri tiga lelaki bertopeng sambil menghunus senjata ke perut dan kepalanya.

Jabatan Polis San Francisco mengesahkan kejadian itu kepada sebuah stesen televisyen tempatan, KTVU FOX 2 dan siasatan sedang dibuat.

Mengikut laporan itu, sebuah kenderaan berhenti berhampiran krew Czech berkenaan sebelum tiga lelaki bersenjata keluar dan mahu merampas peralatan penggambaran berkenaan.

Krew televisyen berkenaan menurut permintaan tiga lelaki bersenjata berkenaan menyebabkan mereka kerugian lebih AS$18,000.

Menerusi platform X, Vostal berterima kasih dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

"Kami akan terus bertugas. Kami di sini untuk merakamkan pertemuan Presiden AS dengan pemimpin China," kata Vostal dalam bahasa Czech yang diterjemah KTVU.

Pemimpin 21 negara berkumpul di sini bagi membincangkan agenda memperkasa perdagangan dan ekonomi di rantau Pasifik.

Perhatian tentunya tertumpu kepada sampingan daripada mesyuarat itu iaitu pertemuan antara Presiden AS, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping pada Rabu.

San Francisco memperketat kawalan keselamatan untuk mesyuarat itu termasuk memasang penghadang dan pagar di Moscone Center.

Beberapa laporan sebelum ini turut menyebut pihak berkuasa turut memindahkan komuniti gelandangan daripada sekitar lokasi sidang kemuncak itu berlangsung.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada 9.37 malam (Waktu Standard Pasifik), pada Isnin di San Francisco bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pertamanya.

Para pemimpin Vietnam, Peru, Filipina dan Indonesia pula dijadual tiba pada Selasa (14 November), manakala pemimpin dari Korea Selatan, Chile, Brunei, Kanada, Australia, Colombia dan Mexico akan tiba pada Rabu (15 November).

Sementara itu, kehadiran Presiden China Xi Jinping dan pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden di luar mesyuarat itu bagi mencari jalan mengatasi kekusutan dalam hubungan dua hala antara kedua-dua kuasa besar itu juga menjadi tumpuan.

Rumah Putih telah mengesahkan pertemuan antara pemimpin-pemimpin itu akan berlangsung pada Rabu (15 November).

Moscow sebaliknya menghantar Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexei Overchuk bagi mewakili Putin. Agensi Berita Interfax melaporkan bahawa Putin secara peribadi memutuskan bahawa Overchuk, 58, akan mengetuai delegasi Rusia. Sejak pencerobohan Ukraine oleh Rusia, Putin dipulaukan oleh para pemimpin Barat termasuk AS.

APEC adalah forum antara kerajaan membabitkan 21 ekonomi yang mempromosikan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik. Sebagai Pengerusi APEC bagi 2023, AS akan menjadi tuan rumah AELM untuk kali ketiga.

Kali ini San Fransciso dipilih sebagai lokasi mesyuarat, selepas Pulau Blake pada 1993 dan Honolulu (2011). San Francisco merupakan pusat komersial, kewangan dan kebudayaan California Utara.

Kawasan Bay Area di San Francisco menempatkan sebilangan besar syarikat Fortune 500 terbesar di dunia seperti Tesla, Uber, Salesforce, Pixar, Netflix, Lucasfilm Ltd, Levi Strauss, dan beberapa firma inovatif terkemuka dalam pembangunan AI, bioteknologi, perisian, teknologi bersih dan media sosial.

Pada tahun ini, Biden akan mempengerusikan AELM dan mengetuai perbincangan dengan Pemimpin APEC mengenai pengukuhan hubungan ekonomi; meningkatkan keterangkuman dan kelestarian; serta mengukuhkan daya tahan dan kompleksiti ekonomi selaras dengan tema APEC 2023, "Creating a Resilient and Sustainable Future for All".

AELM ke-30 dijangka menerima pakai Deklarasi Gerbang Emas 2023 (2023 Golden Gate Declaration) Pemimpin APEC.

AS dan Malaysia adalah antara 12 pengasas awal APEC termasuk Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pula menyertai kerjasama ekonomi itu pada 1993, diikuti Chile pada 1994, manakala Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998 menjadikan keahlian penuh kepada 21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 9:02 AM