BERNAMA

San Francisco: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Vietnam Vo Van Thuong dan Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec (AELM) 2023 di sini.

Pertemuan dua hala Perdana Menteri dengan Vo Van adalah atas permintaan Hanoi, manakala dengan Boluarte adalah atas permintaan Malaysia.

Vietnam adalah rakan dagang ke-12 terbesar Malaysia di dunia serta keempat negara dalam blok Asean selepas Singapura, Indonesia dan Thailand.

Pada 2022, nilai dagangan kedua-dua negara terus meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada AS$19.44 bilion berbanding AS$16.7 bilion pada 2021.

Dari segi pelaburan, Malaysia adalah pelabur ke-10 terbesar Vietnam selepas Singapura dan Thailand.

Nilai dagangan antara Malaysia dan Peru dari Januari hingga Jun 2023 dicatat sebanyak AS$168.45 juta (RM751.77 juta), meningkat 12.8 peratus berbanding AS$155.97 juta (RM666.44 juta) bagi tempoh sama pada 2022.

Amerika Syarikat akan menyerahkan penganjuran Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) kepada Peru pada 2024.

Turut hadir pada pertemuan itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Duta Besar Malaysia Ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta Ahli Parlimen Sim Tze Tzin.

Selain pertemuan dua hala itu, Anwar yang tiba di sini pada Isnin lepas (13 November) akan turut menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin Apec dan Dialog Majlis Perniagaan Apec (Abac) dengan Pemimpin Ekonomi Apec.

Dialog Abac dihoskan oleh Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris.

Perdana Menteri juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi dengan Columbia, Fiji serta India dan Mesyuarat Kedua Pemimpin Kerangka Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF),

Anwar kemudian dijadual menghadiri majlis makan malam Pemimpin Ekonomi APEC yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.

AS dan Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas Apec.

Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

Ini diikuti China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pada 1993. Chile menyertainya pada 1994 serta Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998, menjadikan keanggotaan penuh kepada 21.

Apec mempunyai hampir tiga bilion penduduk, 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 48 peratus daripada perdagangan dunia pada 2021.

ANWAR. FOTO AFP
ANWAR. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 7:49 AM