DATUK Seri Mahdzir Khalid. FOTO Amran Hamid
DATUK Seri Mahdzir Khalid. FOTO Amran Hamid
M Hifzuddin Ikhsan


PERIKATAN Nasional (PN) mengakui sudah memiliki calon Perdana Menteri sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagaimanapun sebarang keputusan mengenai calon Perdana Menteri berkenaan perlu diputuskan kepimpinan antara parti gabungan sekiranya PN dapat memenangi PRU-15.

Jelasnya, kepimpinan PN ketika ini berbeza berbanding pembangkang yang masih belum dapat menentukan siapa calon Perdana Menteri sama ada antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya selaku Ahli Parlimen Padang Terap memberi sokongan penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kerana kerajaan ketika ini adalah kerajaan beliau.

"Kita sebelah ini (kerajaan) sudah tahu, tetapi di sebelah sana (pembangkang) kelam kabut sebab ada mahu Tun Mahathir dan ada mahu Anwar, tetapi itu hal mereka.

"Kita parti (PN) yang menubuhkan kerajaan ketika ini, sama ada UMNO atau PAS beri sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin," katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada masa sama, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO turut menyokong kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mencadangkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan segera.

Katanya, pilihan raya tergempar itu bertujuan menyelesaikan dan meredakan ketegangan politik yang berlaku sejak Februari lalu, berikutan perbezaan jumlah Ahli Parlimen antara kerajaan serta pembangkang yang terlalu tipis.

"Peluang PN memperoleh kemenangan dalam pilihan raya ini cerah kerana gabungan parti kita mempunyai satu solidariti kesatuan dan kerjasama yang kukuh.

"Kita mempunyai keyakinan, namun pengundi bukan Melayu diharap dapat memberi sokongan kepada calon kita terutama di kerusi campuran bagi memastikan suara mereka dapat didengar selepas ini," katanya.

Ismail dalam temubual khas bersama media tempatan, mencadangkan pembubaran parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan sebagai penyelesaian terbaik kepada kemelut yang melanda politik sekarang.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut mengakui PN bukan sebuah kerajaan yang kuat ketika ini, berikutan menerima pelbagai tekanan daripada pembangkang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 6:03 PM