Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah), ketika menerima penerangan dari Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari mengenai barang keperluan yang akan dihantar ke Palestin ketika Program Pelepasan Penghantaran ke-2 Bantuan Kemanusiaan OPS Ihsan ke Gaza di Sepang, malam ini. FOTO SADIQ SANI
Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah), ketika menerima penerangan dari Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari mengenai barang keperluan yang akan dihantar ke Palestin ketika Program Pelepasan Penghantaran ke-2 Bantuan Kemanusiaan OPS Ihsan ke Gaza di Sepang, malam ini. FOTO SADIQ SANI
BERNAMA

Sepang: Malaysia bersedia untuk menghantar lebih banyak sarung tangan getah untuk kegunaan pasukan perubatan di Semenanjung Gaza, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata sarung tangan getah adalah antara keperluan mendesak di Semenanjung Gaza ketika ini.

"Memang kita (Malaysia) mendapat maklumat bahawa sarung getah amat diperlukan (di Gaza) dan kita masih menanti pengesahan jumlah sebenar yang diperlukan mereka," katanya kepada media selepas menyaksikan pelepasan penghantaran kedua bantuan barangan kemanusian untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan, di sini malam ini.

Fadillah berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Majlis Getah Malaysia sudah mengumpul 100,000 sarung tangan getah yang akan dihantar ke Semenanjung Gaza menerusi Ops Ihsan yang dikendalikan Kementerian Luar.

"Kita (KPK) sudah berhubung dengan syarikat pengeluar (sarung tangan getah) dan kalau diperlukan lagi mereka bersedia untuk menyediakan sumbangan itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari berkata Malaysia menerusi Ops Ihsan bercadang mewujudkan satu hab kemanusiaan di Kaherah yang akan diselia semua badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Ops Ihsan.

Beliau berkata pasukan terbabit akan ke Kaherah minggu depan untuk memastikan perancangan itu dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ops Ihsan adalah inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama lebih 50 NGO antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 12:08 AM