Kuala Selangor: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menarik balik Bencana Tahap 1 di Kuala Selangor yang terjejas akibat banjir sebelum ini berikutan jumlah mangsa semakin berkurangan.

Pegawai Daerah Kuala Selangor merangkap Pengerusi Bencana Kuala Selangor Shamsul Shahril Badlisza Mohd Noor berkata, sehingga 9 pagi ini, 148 mangsa banjir masih ditempatkan di lima pusat penempatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Marit Mahang, Dewan Kampung Bukit Cherakah, Dewan Kampung Bukit Kuching, Ladang Tuan Mee dan Balai Raya Kampung Asahan.

Sementara dua pusat penempatan iaitu Dewan Kampung Bukit Hijau ditutup 3.30 petang semalam, dan Masjid Simpang 3 Jeram ditutup pada pukul 3 petang Rabu lalu.

“Berikutan situasi terkini banjir yang semakin surut dan bilangan mangsa di pusat penempatan mangsa semakin kurang, kami menarik balik Bencana Tahap 1,” katanya dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, di sini, hari ini.

Pada 18 November lalu, MKN mengisytiharkan Bencana Tahap 1 di daerah ini berikutan lebih 400 mangsa dipindahkan ke pusat penempatan banjir.

Bencana Tahap 1 ialah kejadian setempat yang terkawal dan tidak berpotensi untuk merebak, tidak begitu kompleks dan kemungkinan mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda yang kecil. Ia juga tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk setempat secara meluas.

Shamsul Shahril Badlisza turut mengumumkan bahawa Pusat Kawalan Operasi Banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang ditutup dan dipindahkan ke Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kuala Selangor bagi membolehkan pihaknya menjalankan pemantauan berkala terhadap situasi banjir.

“Walaupun pusat kawalan operasi banjir telah ditutup tetapi kami tetap bersedia 24 jam dan sekiranya ada keperluan untuk membuka semula pusat penempatan, kami akan lakukan dan agensi berkaitan masih diminta untuk melakukan pemantauan berkala.

“Bagi mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat penempatan, kebajikan mereka diuruskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Selangor turut membuat pemantauan 24 jam,” katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu, walaupun situasi banjir menunjukkan pengurangan, sebelas pam yang diletakkan di Sungai Selangor dan Sungai Buloh akan dikekalkan sehingga air kering sepenuhnya.

Shamsul Shahril Badlisza juga memaklumkan bahawa pihaknya memohon kepada kerajaan Selangor untuk menempatkan pam secara kekal di kunci air Parit Gajah dan Bukit Kuching bagi membolehkan kerja pengepaman air dilakukan lebih awal sekiranya hujan turut lebat.

“Sekiranya diluluskan permohonan, kemungkinan tahun depan kita tempatkan pam di kunci air tersebut secara kekal. Adalah lebih baik kita mencegah sebelum banjir berlaku,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:04 PM
SITI Nur Azira Mohd Rosli, 4, berdiri di bilik tidurya yang terjejas berikutan banjir di Kampung Parit Mahang. FOTO Muhammad Sulaiman
SITI Nur Azira Mohd Rosli, 4, berdiri di bilik tidurya yang terjejas berikutan banjir di Kampung Parit Mahang. FOTO Muhammad Sulaiman