Tuan Ibrahim pada sidang media selepas Pelancaran Malaysian Recycling Alliance (MAREA) di Setia City Convenion Centre, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Tuan Ibrahim pada sidang media selepas Pelancaran Malaysian Recycling Alliance (MAREA) di Setia City Convenion Centre, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penerangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu banjir Selangor pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam satu penjelasan ke arah penambahbaikan berdasarkan keadaan dan fakta.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan penerangan Perdana Menteri itu suatu penjelasan kepada semua pihak.

"Perdana Menteri menyebut fakta serta realiti apa yang berlaku, bukan nak salahkan kerajaan Selangor.

"Seperti yang beliau sebut, negeri Pantai Timur ini sudah biasa (banjir) yang mana apabila hujan turun...mereka akan bersedia dengan banjir. Mungkin Selangor tidak fikir banjir sebegitu besar, jadi saya fikir ini suatu penjelasan untuk ke arah penambahbaikan dan bukan untuk salahkan.

"Sebab itu PM tidak sebut mana-mana individu, nama dan sebagainya. Tetapi secara umum supaya kita dapat kita tambah baik," katanya selepas merasmikan pelancaran Malaysia Recyling Alliance (MAREA) di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun beberapa kali amaran diberikan daripada tahap kuning sehingga merah, banjir yang melanda memang tidak dijangka.

"Kami di Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) juga akui ada perkara kita perlu tambah baik seperti sistem pengurusan sungai serta perparitan," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengesahkan pam air ditempatkan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini turut berfungsi ketika kejadian banjir berlaku cuma ia tidak dapat digunakan susulan ketiadaan elektrik.

Katanya, pam di Taman Sri Muda berfungsi sebenarnya dan ketiadaan elektrik menjadi isu kerana pam berkenaan menggunakan elektrik.

"Bila air meningkat dan memberi risiko pada orang ramai, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa buat potongan elektrik," katanya.

Sementara itu, berhubung kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mempersoalkan mengapa tidak memusnahkan atau mengebom pam air Sungai Muda, Taman Sri Muda, Tuan Ibrahim berkata, fungsi besar pintu air itu adalah untuk menyekat air dari Sungai Klang masuk ke kawasan Taman Sri Muda.

"Isu kita adalah air nak ke mana? Kalau paras air bawah lebih tinggi (Sungai Klang), kita bom tidak guna. Kita perlu paras air Sungai Klang turun (surut) dan baru kita boleh pam keluar (air terkepung di Sri Muda). Sistem pam ini adalah sistem terbaik dan dibuat kajian teliti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, semalam, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mempersoalkan mengapa tentera tidak memusnahkan atau mengebom pam air yang tidak boleh digunakan bagi mengalirkan air banjir yang terperangkap ke Sungai Muda ketika banjir melanda di Taman Sri Muda, Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 3:13 PM