Jalaluddin ketika program walkabout di Pasar Awam Simpang Pertang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Jalaluddin ketika program walkabout di Pasar Awam Simpang Pertang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan akan mengenal pasti kolam ikan terbiar untuk dibangunkan semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia membabitkan kolam yang terbiar akibat kejadian banjir besar pada Disember 2021.

Menurutnya, antara faktor menyebabkan aktiviti penternakan ikan tidak boleh dijalankan kerana pasaran dan kenaikan harga makanan ikan.

"Dalam program pemulihan kolam terbiar membabitkan milik individu, kita akan lihat apa yang boleh dibantu bagi memastikan mereka meneruskan semula penternakan ikan itu.

"Bagi kolam terbiar yang berada di dalam tanah kerajaan, kita akan buat pemulihan secara berperingkat dengan pemulihan itu akan dilaksanakan di daerah Jelebu dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas walkabout pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Pasar Awam Simpang Pertang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan.

Jalaluddin berkata, buat permulaaan dua kolam terbiar di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) akan dipulihkan dan akan dijadikan 'anak angkat' oleh Jabatan Perikanan.

"Apabila cukup tempoh, ikan yang diternak di kolam berkenaan akan diberi secara percuma kepada penduduk B40 atau dalam senarai e-kasih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 3:36 PM