DATUK Jalaluddin Alias (dua dari kanan) melihat pelan projek perumahan SPNB di Simpang Durian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan.
DATUK Jalaluddin Alias (dua dari kanan) melihat pelan projek perumahan SPNB di Simpang Durian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Projek perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) secara berkelompok di Simpang Durian, di sini, adalah projek pertama seumpamanya di Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, ia membabitkan pembinaan di atas tanah seluas lapan hektar milik kerajaan yang sudah dipindah milik kepada 113 individu.

Beliau berkata, projek berkenaan sepatutnya dimulakan pada 2004, namun tertangguh atas pelbagai faktor termasuk perlu menyelesaikan urusan pindah milik.

"Kerja infrastruktur antaranya membina jalan dan longkang membabitkan kos RM6.4 juta sedang berjalan dan akan siap tidak lama lagi.

"Rumah akan dibina di atas lot tanah pemilik oleh SPNB berdasarkan jumlah pinjaman dibuat mereka," katanya ketika melawat tapak projek berkenaan di Simpang Pertang, petang semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang, Noor Azmi Yusof; Adun Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali dan Pengarah SPNB Melaka dan Negeri Sembilan, Azmil Abu Samah.

Jalaluddin yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad berkata, semua 113 individu berkenaan sudah membuat permohonan membina rumah dan jika berjalan lancar semua rumah akan siap dibina pada April 2021.

Katanya, semua individu terbabit tidak memiliki tanah bagi membina rumah SPNB yang ditawarkan pada harga dari RM75,000 menerusi Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan bayaran bulanan serendah RM300 bagi tempoh 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 3:20 PM