GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni dan melakukan samun antara jam 11 pagi hingga 3 petang.

Itu modus operandi tiga suspek paling dikehendaki dikenali sebagai Geng Sky yang tumpas selepas ditahan polis daerah ini pada 4 Januari lalu.

Tiga lelaki itu juga baru selesai menjalani pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Julai tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, tiga lelaki berusia 39 hingga 59 tahun itu dipercayai membaling batu ke arah rumah yang disasarkan untuk memastikan tiada penghuni sebelum memecah masuk.

"Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun melaporkan rumahnya di daerah ini dipecah masuk pada 24 Disember lalu kira-kira jam 11 malam.

"Mangsa mendapati pelbagai barangan berharga membabitkan barangan kemas, elektronik, elektrik, wang tunai dan barangan peribadi hilang dengan anggaran kerugian RM50,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya membuat serbuan dan menahan tiga suspek di dua lokasi, Dang Wangi dan Setapak pada jam 8.30 malam.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas pelbagai peralatan pecah rumah, not mata wang asing, barangan kemas, beberapa keping surat pajak gadai, aksesori perhiasan diri, barangan komponen elektronik serta sebuah kereta yang hilang di Puchong disyaki hasil kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini.

"Hasil semakan juga mendapati suspek pertama berusia 39 tahun mempunyai 15 rekod jenayah lampau dan dadah manakala suspek kedua berusia 59 tahun pula lapan rekod jenayah, 14 rekod dadah dan satu rekod dikehendaki kes dadah di Jasin, Melaka.

"Selain itu, suspek berusia 48 tahun mempunyai 10 rekod jenayah dan enam daripadanya berkaitan kes dadah," katanya.

Mohamad Fakhruddin berkata, sebaik bebas POCA, Geng Sky kembali aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.

"Berdasarkan keterangan suspek, mereka mengakui melakukan pecah rumah ketika penghuni keluar bekerja yang mana salah seorang suspek akan bertindak membaling batu atau menekan loceng rumah untuk memastikan tiada penghuni.

"Hasil siasatan lanjut mendapati barangan kemas hasil pecah rumah dijual di kedai pajak gadai di Rawang dan Setapak.

"Seterusnya dengan dipandu arah suspek, polis menahan seorang lelaki tempatan yang membeli barangan kemas bernilai RM21,000," katanya.

Menurutnya, dengan tertangkapnya tiga suspek itu, polis yakin berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah ini, dua di Serdang dan satu di Ampang.

"Kesemua suspek direman selama 10 hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan curi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 2:28 PM