ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian Program MPOB di KLCC. FOTO Aswadi Alias
ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian Program MPOB di KLCC. FOTO Aswadi Alias
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai negara Islam dengan sebaik mungkin bagi menyuarakan isu Palestin ketika menghadiri ketika sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS), bulan depan.

Perdana Menteri berkata, beliau terlebih dulu akan mengadakan perbincangan mengenai beberapa perkembangan berkaitan isu berkenaan.

"Kita akan bincangkan dengan beberapa teman dan kita akan jalankan tanggungjawab kita sebaik mungkin," katanya kepada media selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2023 (PIPOC 2023) di sini, hari ini.

Perdana Menteri ditanya sama ada beliau akan menggunakan pentas APEC bagi menyuarakan isu Palestin.

Semalam, Perdana Menteri mengesahkan, beliau akan menghadiri APEC, minggu depan, walaupun ada desakan supaya tidak menghadiri persidangan itu.

Perdana Menteri berkata, beliau perlu menghadiri persidangan itu bagi menjaga hubungan diplomatik, keamanan dan ekonomi.

APEC adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, yang mana tahun ini, ia akan bersidang di San Francisco bermula 11 hingga 17 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 2:39 PM