BERNAMA

Kuala Lumpur: Beberapa ahli perniagaan dan pakar teknologi dalam kalangan komuniti Islam yang berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat telah menyatakan minat untuk melabur di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau dalam pertemuannya dengan Pengarah Pemasaran Komersial SpaceX Omar Kunbargi, Ketua Pegawai Eksekutif Rembrand Omar Tawakol, Ketua Pegawai Eksekutif Ornovi Fauad Hasan, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Z2Data Mohammad Ahmad, Presiden Whizz System Muhammad Irfan dan Ketua Perhubungan Z2Data Osama Ahmad.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata mereka menyatakan minat untuk berbuat demikian selepas mendengar penjelasan mengenai hala tuju Malaysia.

Beliau berkata pertemuan itu turut membicarakan mengenai keperluan memberikan lebih perhatian berkaitan bidang kecerdasan buatan selain menyentuh soal pendidikan dan aeroangkasa yang sama penting.

"Kami turut membincangkan soal pembangunan umat Islam di Amerika Syarikat serta situasi yang berlaku saat ini yang menimpa warga Palestin.

"Mereka turut menyatakan dukungan dan penghargaan atas pendirian keras dan istiqamah Malaysia mengenai penderitaan warga Palestin," katanya.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat yang berakhir semalam.

ANWAR Ibrahim ketika tiba untuk menghadiri Majlis Makan Malam sempena  mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). FOTO AFP
ANWAR Ibrahim ketika tiba untuk menghadiri Majlis Makan Malam sempena mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 6:28 PM