Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua rakyat terutama media di Malaysia supaya tidak memainkan sentimen yang menyentuh sensitiviti dalam menerbitkan isu Palestin.

Anwar membuat teguran itu selepas menyedari masih ada segelintir media tempatan masih memanggil Hamas sebagai pengganas dan militan hingga mencetuskan kegelisahan dan sensitiviti rakyat yang menyokong perjuangan Palestin.

"Saya setuju bahawa media kita (panggil Hamas militan) dan seluruh negara sebab itu dalam jawapan saya minggu lalu, saya sengaja kaitkan tentang kedudukan Kristian yang jadi mangsa keganasan Yahudi supaya rakyat Malaysia tahu orang Islam atau bukan Islam tahu isu, ini isu kemanusiaan dan kezaliman dilakukan (Israel).

"Saya setuju untuk ingatkan rakyat... semua media bahawa ada yang dikatakan legitimate hak asas mana-mana negara yang dizalimi berhak contoh terbaik, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC).

"Tatkala kita buat kenyataan menyokong ANC, ini pemimpin sebelum saya itu tak iktiraf kenyataan dunia barat bahawa Mandela (bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela) itu kepala pengganas," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

ANWAR mengadakan pertemuan dengan syarikat Belanda Nexperia yang diketuai Zhang. FOTO Bernama
ANWAR mengadakan pertemuan dengan syarikat Belanda Nexperia yang diketuai Zhang. FOTO Bernama

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Bin Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) meminta Perdana Menteri menegur dan ambil tindakan ke atas media yang salah melaporkan terutama media berbahasa Mandarin dan Inggeris yang menggunakan Hamas sebagai militan atau pengganas.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, setiap media perlu ada kesedaran mengenai isu Palestin membabitkan serangan melampau dilakukan Israel, genosid dan melanggar hak kemanusiaan manakala Hamas adalah pejuang yang mempertahankan tanah air mereka.

"Jadi untuk Malaysia, saya setuju harus ada kesedaran supaya semua media perlu faham kegelisahan dan sensitiviti rakyat dan iktiraf hak rakyat Palestin untuk membantah dan bertindak.

"Saya selalu ungkapkan dispensation tanah, harta, maruah itu terus diperkosa dan dihina jadi ada hak untuk mereka bangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 12:20 PM