KELEWATAN penghantaran BPS kepada lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis berlaku berikutan benih terbabit perlu dihantar ke makmal Jabatan Pertanian bagi proses penilaian.FOTO Arkib NSTP
KELEWATAN penghantaran BPS kepada lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis berlaku berikutan benih terbabit perlu dihantar ke makmal Jabatan Pertanian bagi proses penilaian.FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) perlu bekerjasama dengan universiti tempatan untuk melakukan kajian secara menyeluruh mengenai benih padi sah (BPS) bagi memastikan tidak lagi berlaku kelewatan pengagihan BPS pada musim depan.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Othman Aziz berkata, penilaian BPS harus dilakukan lebih awal sebelum tibanya musim menabur benih berikutan kelewatan pengagihan benih akan menyebabkan kesan buruk terhadap rantaian industri padi.

"Setiap musim Jabatan Pertanian sudah mengetahui anggaran BPS diperlukan, jadi penyelidikan mengenai benih ini perlu diperluaskan dengan kerjasama bersama universiti tempatan.

"Kaji menyeluruh mengenai benih akan membantu meningkatkan kualiti benih serta memudahkan benih dihasilkan dalam kuantiti diperlukan dengan lebih cepat pada masa depan.

"Perkara seperti ini perlu diselesaikan secepat mungkin kerana kita adalah negara sudah berpengalaman puluhan tahun dalam tanaman padi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jom Turun Bendang di Kampung Pida 8 Tebengau, Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, kelewatan penghantaran BPS kepada lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis berlaku berikutan benih terbabit perlu dihantar ke makmal Jabatan Pertanian bagi proses penilaian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya tidak boleh terus menghantar benih padi dikeluarkan pembekal tanpa melalui ujian bagi memastikan kualitinya sebelum pengesahan dapat dibuat.

Mengulas lanjut, Othman yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkata, petani kini terpaksa berdepan dengan risiko menuai di luar musim yang boleh menjejaskan hasil padi berikutan masih ada tidak menerima bekalan BPS.

Katanya, kejadian banjir akan menyebabkan ramai petani terpaksa menabur sekali lagi, sekali gus meningkatkan kos mereka.

"Kejadian bencana alam ini kita tidak boleh kawal, namun kelewatan pengagihan benih perlu dikawal kerana apabila BPS lewat sampai ke tangan petani, akhirnya petani menuai di luar musim.

"Kita bimbang mereka terpaksa menuai di musim basah (hujan), hasil padi akan terjejas dengan pemotongan kualiti padi yang berlaku di peringkat kilang.

"Selain itu, sekiranya pesawah tidak dapat menanam mengikut jadual, risiko padi masak serentak akan menyebabkan jentera menuai dan pengangkutan tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pengilang tidak dapat menerima kuantiti padi melebihi kapasiti mesin pengeringan, misalnya sebuah kilang hanya mampu mengeringkan 2,000 tan padi sehari menyebabkan mereka tidak akan mampu membeli lebih daripada itu.

Menurutnya, perkara itu perlu dilihat secara holistik termasuk bahagian Industri Padi dan Beras agar hasil tuaian di hujung musim tidak membebankan mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 4:37 PM