HARGA benih padi sah (BPS) mengalami kenaikan harga mendadak. FOTO Arkib NSTP
HARGA benih padi sah (BPS) mengalami kenaikan harga mendadak. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Pesawah di negeri ini kian tertekan apabila harga benih padi sah (BPS) mengalami kenaikan harga mendadak sekaligus merencatkan musim penanaman padi.

Perkara itu didedahkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mendapati hanya kira-kira 10.6 peratus jelapang padi di Kedah dan Perlis dapat memulakan musim tanaman baharu 2023/24 akibat masalah ketiadaan bekalan BPS.

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata jumlah itu adalah jauh dari jadual ditetapkan MADA yang sepatutnya sudah mencapai lebih 50 peratus apabila musim tanaman bermula September lalu.

Jelasnya, punca utama berlaku kelewatan adalah kerana pesawah sukar mendapatkan BPS pada harga RM45 per 20 kilogram (kg) daripada pembekal dilantik kerajaan.

"Pilihan yang ada adalah membelinya daripada peruncit pada harga lebih RM50.

"Jika ikut jadual penanaman musim 2023/24, sejumlah 33,580 hektar atau 30 peratus kawasan sawah MADA sepatutnya selesai menabur benih padi mulai 27 September hingga 11 November ini.

"Fasa kedua menabur pula bermula 7 Oktober hingga 21 November membabitkan kawasan seluas 32,900 hektar dan fasa ketiga bermula 17 Oktober hingga 1 Disember pula merangkumi 34,161 hektar.

"Jika jadual menabur mengikut jadual, sepatutnya sudah lebih 50 peratus kawasan sudah memulakan tanaman baharu, tapi yang berlaku hanya 10.6 peratus dapat melakukan proses itu," katanya semalam.

Dr Ismail berkata, punca utama kelewatan ini berlaku adalah kerana pesawah gagal mendapatkan BPS yang disalurkan pembekal kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Jelasnya, beliau turut dimaklumkan peningkatan harga runcit BPS yang kini berharga lebih RM50 per 20 kg turut menyebabkan pesawah yang berada di luar kawasan tanaman MADA berhadapan masalah.

"Kawasan luar MADA juga dianggarkan hanya mencapai 10 peratus proses menabur benih kerana pesawah tidak mampu membeli benih padi yang harganya terlalu tinggi dan akan menjejaskan hasil selepas padi dituai.

"Apa yang berlaku hanya PPK tertentu mendapat bekalan BPS pada harga ditetapkan kerajaan, sedangkan pembekal swasta menggunakan ejen bagi menjual benih padi pada harga lebih RM50 per 20 kg.

"Sepatutnya, Bahagian Kawalselia Padi dan Beras ambil tindakan tegas kepada ejen swasta ini kerana tidak memberi kerjasama dan tidak patuh arahan kerajaan dengan ini menunjukkan sikap degil mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 1:32 PM