Mohamad Sabu.
Mohamad Sabu.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menarik balik 22 lesen penjualan Benih Padi Sah (BPS) milik peruncit sepanjang Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) Zon Utara setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada 7 November lalu, sebanyak 20 lesen ditarik balik manakala hari ini sebanyak dua lagi lesen peruncit dikenakan tindakan sama.

"Tempoh pelaksanaan Task Force OP BPS ini diadakan selama dua minggu bermula 7 November sehingga 21 November 2023.

"Ini adalah untuk memastikan semua peruncit menjual mengikut harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tiada unsur menyorok BPS," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai langkah segera yang telah diambil secara tegas dan holistik bagi menangani isu penjualan BPS yang menekan pesawah pada masa ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, penetapan harga maksimum jualan BPS bagi setiap kampit 20 kilogram (kg) adalah sebanyak RM40 di pintu gudang syarikat pengeluar, manakala RM45 bagi harga runcit mulai 20 Oktober.

"Penetapan harga ini dibuat bagi mengelakkan manipulasi harga BPS di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak," katanya.

Sementara itu, Mohamad turut menjawab soalan tambahan Ahmad Fakhruddin mengenai adakah kementerian bersedia memberi kebenaran kepada petani untuk menyediakan benih padi sendiri.

Menurutnya, dari segi jangka masa panjang, kerajaan sedang berusaha untuk mewujudkan stok penimbal bagi BPS.

"Kalau berlaku apa-apa hal, maka stok penimbal ini akan digunakan. Seperti beras, kita belum guna lagi. Kita belum ada stok penimbal benih padi. Yang ini kita akan adakan pada masa hadapan," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan menambah baik infrastruktur dan plot penanaman padi asas oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Kita juga akan memperluaskan penggunaan padi sah di wilayah Sabah dan Sarawak dan ini (semua perancangan) jangka panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 1:22 PM