JOHOR BAHRU 26 OGOS 2023. Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU 26 OGOS 2023. Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 13 kes penipuan pelaburan direkod dalam tempoh lima hari mulai 1 November lalu, yang membabitkan kerugian lebih RM3.3 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa warga tempatan berusia antara 21 hingga 65 tahun membuat laporan diperdaya pelbagai pelaburan palsu.

Katanya, kes pertama membabitkan pelaburan Forex menerusi laman aegloballink yang dipercayai beroperasi di luar negara dengan kerugian RM1.9 juta.

"Dalam kes itu, lelaki dan dua perempuan berusia antara 49 hingga 65 tahun terpedaya selepas melihat tawaran disiar di media sosial, yang menjanjikan pulangan lumayan dan jaminan wang pokok dikembalikan.

"Mangsa mendakwa yakin pelaburan itu sah selepas berkomunikasi dengan penganjur menerusi aplikasi Zoom," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kesemua mangsa membuat pelaburan antara RM437,253 hingga RM864,303 menerusi aplikasi Huobi dan urusan pelaburan akan dilakukan oleh upline mereka.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal memperoleh keuntungan yang dijanjikan serta gagal menghubungi syarikat yang menganjurkan pelaburan itu.

"Dalam kes berasingan, wanita tempatan mengadu mengalami kerugian RM299,373 selepas melabur dalam pelaburan dikenali Kryto Yomaex yang menjanjikan keuntungan tempoh singkat.

"Mereka menjanjikan keuntungan itu antara 21 Julai 2023 hingga 1 September 2023 dan mangsa memasukkan wang ke tujuh akaun bank berbeza, sebelum menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan dijanji walaupun 'membayar' sejumlah wang diminta kononnya sebagai pengesahan keuntungan," katanya.

Kamarul Zaman berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika disabitkan selain denda.

Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan mudah, selain sentiasa menyemak maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 4:28 PM