Asrol Awang


Kuantan: Pesara lelaki berusia 78 tahun kerugian RM319,899 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa dari daerah ini terpedaya selepas melihat iklan pelaburan di laman sosial terbabit pada Oktober tahun lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan penjelasan dengan membuat trading dalam platform yang disediakan dengan memperoleh keuntungan antara 10 dan 20 peratus.

"Mangsa berminat menyertai pelaburan yang ditawarkan dan pembayaran dilakukan secara berperingkat kepada empat akaun bank berbeza.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas mendapati laman sesawang terbabit tidak dapat berfungsi dan tidak memperolehi sebarang keuntungan dan modal.

"Siasatan mendapati RM319,899 itu adalah wang pencen milik mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yahaya berkata, polis sentiasa mengambil tindakan proaktif mempertingkatkan Kempen Pencegahan Jenayah untuk memberi pendedahan modus operandi yang dilakukan sindiket secara berterusan khususnya melalui media sosial.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 1:50 PM