Perhimpunan Solidariti UTM Bersama Palestin yang diadakan di UTM Skudai di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Perhimpunan Solidariti UTM Bersama Palestin yang diadakan di UTM Skudai di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang rakyat Palestin yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) Teknologi Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, setiap hari hanya mampu menanti khabar mengenai keadaan ahli keluarganya di tanah air.

Mohammed ZM Qaddoura, 33, meluahkan dia hanya bersedia dengan sebarang kemungkinan terutamanya apabila terputus hubungan dengan 53 ahli keluarganya yang masih berada di Gaza, sejak empat hari lalu.

"Saya hanya menanti khabar sama ada ahli keluarga terselamat atau sudah syahid. Ayah saya, keluarga, semua masih di Gaza.

"Ketika ini, saya sedang menunggu sekiranya ada mesej memaklumkan mereka sudah syahid. Kami (rakyat Palestin) di sini sedang mempersiapkan diri dengan kemungkinan itu," katanya ketika Perhimpunan Solidariti UTM Bersama Palestin yang diadakan di UTM Skudai di sini, hari ini.

Menurut Mohammed, serangan kali ini, rejim zionis Israel tidak lagi memberikan amaran sebaliknya akan terus menyerang dan melepaskan bom di sesuatu kawasan yang mana orang awam masih di dalamnya.

"Mereka juga menyasarkan kawasan kompleks kediaman lebih besar yang menempatkan sehingga 20 unit rumah. Ini membuktikan mereka memang mahu menghapuskan seramai mungkin rakyat Palestin di Gaza dalam serangan kali ini.

"Mereka tidak sasarkan tentera Hamas sebaliknya orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas," ceritanya.

Mohammad yang sudah berada di Malaysia sejak empat tahun lalu kerana menyambung pengajian berkata, walaupun dia berada dalam keadaan selamat di negara ini, namun fikiran dan emosinya tidak tenang kerana tidak berdaya membuat apa-apa bagi membantu meringankan penderitaan dialami penduduk Gaza.

"Selain rasa bimbang akan keselamatan ahli keluarga, saya juga sedih kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Di sini, saya hanya dapat bantu menyebarkan mesej dan menyampaikan maklumat tentang situasi sebenar yang sedang berlaku di sana.

"Baru-baru ini, seorang rakan saya yang sedang melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur memaklumkan seramai 22 ahli keluarganya terbunuh sekelip mata apabila kediaman mereka dibom rejim zionis Israel," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan solidariti itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, Nadratul Huda Ahmad berkata, ia dihadiri seramai lebih 1,000 peserta terdiri daripada penuntut serta kakitangan UTM, selain masyarakat awam.

Katanya, perhimpunan aman itu adalah pengisian hari kedua bagi pelaksanaan Program UTM Bersama Palestin yang dimulakan semalam.

"Selain menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza, program ini bertujuan membangunkan mahasiswa yang holistik dan bukan sekadar cemerlang dalam aspek akademik, tetapi juga cakna isu sejagat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 6:20 PM