Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri). Tun Dr Mahathir Mohamad.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri). Tun Dr Mahathir Mohamad.
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Kes saman fitnah dikemukakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayahnya, akan dibicarakan pada 6 November ini.

Menurut peguam Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi ketika dihubungi pemberita, Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan selama empat hari bermula 6 November ini untuk mendengar perbicaraan kes saman berkenaan di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff.

Katanya, pada pengurusan kes itu hari ini, Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris turut menetapkan tarikh pengurusan kes lanjut secara e-review sebelum perbicaraan iaitu pada 14 April ini.

Prosiding hari ini yang dijalankan secara Zoom, turut dihadiri peguam Intan Hanis Afiqah Razali yang mewakili Ahmad Zahid selaku plaintif.

Ahmad Zahid, 69, memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir, 96, pada 20 April tahun lalu dan melalui pernyataan tuntutannya.

Ahmad Zaid berkata, Dr Mahathir memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

Kata Ahmad Zahid, Dr Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir di rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.

Kata Ahmad Zahid, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir itu adalah fitnah dan berniat jahat terhadapnya.

Dr Mahathir pada 17 Mei tahun lalu menafikan memfitnah Zahid Hamidi dalam penyataan pembelaan terhadap saman itu dan mendakwa Presiden Umno itu menemuinya lima kali antara 2018 hingga 2020.

Dalam pertemuan itu, katanya, Ahmad Zahid menyuarakan kebimbangan berhubung kes mahkamah yang dihadapinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 2:37 PM