SHAHRIN. FOTO Ihsan UiTM
SHAHRIN. FOTO Ihsan UiTM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Datuk Prof. Shahrin @ Sahib Sahibuddin dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Shahrin, 55, bakal menerajui UiTM bagi tempoh tiga tahun menggantikan Datuk Prof. Roziah Mohd Janor yang memegang jawatan itu sejak 9 Ogos 2011 sehingga 11 Oktober lalu.

UiTM dalam kenyataan hari ini berkata, Shahrin menerima watikah pelantikan daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu upacara di pejabatnya, hari ini.

"Shahrin Profesor Kanan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

"Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains dalam bidang kejuruteraan dari Purdue University West Lafayette, Amerika Syarikat.

"Kemudian beliau melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam bidang Pemprosesan Selari (Parallel Processing) di University of Sheffield, United Kingdom," katanya.

Menurutnya kenyataan itu, pengalaman Shahrin menjawat jawatan penting di dalam beberapa institusi pendidikan tinggi dilihat mampu memacu UiTM ke tahap lebih tinggi.

Selain berpengalaman bekerja di universiti awam beliau juga memiliki pengalaman pentadbiran di beberapa institusi pendidikan tinggi swasta antaranya Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Yayasan Melaka.

"Selain itu, beliau juga memiliki reputasi akademik yang sangat dihormati di dalam dan luar negara sekali gus mampu meningkatkan keterlihatan universiti dalam memacu kecemerlangan UiTM khususnya dalam era teknologi pengganggu (disruptive technology) hari ini.

"Beliau turut dilihat berupaya untuk memperkasa UiTM sebagai wadah pendidikan utama negara dalam melahirkan graduan Bumiputera yang berdaya saing dan kalis masa hadapan," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 8:33 PM