UiTM menerima pelantikan Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman, Profesor Kanan Fakulti Perakaunan UiTM sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) baharu. FOTO IHSAN UITM
UiTM menerima pelantikan Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman, Profesor Kanan Fakulti Perakaunan UiTM sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) baharu. FOTO IHSAN UITM
Ruwaida Md

Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima pelantikan Profesor Kanan Fakulti Perakaunan UiTM, Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman, sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

UiTM dalam satu kenyataan berkata, Suzana dilantik mengisi jawatan berkenaan bagi menggantikan Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor yang dilantik sebagai Naib Canselor UiTM.

"Beliau adalah seorang ahli akademik yang memiliki akreditasi profesional serta sangat berkredibiliti dalam bidangnya malah banyak bergiat aktif dalam penyelidikan dan konsultasi.

"Beliau juga seorang ahli majlis Malaysia Institute of Accountants MIA dan ahli Lembaga Penyelidikan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) UK dan adalah ahli akademik yang pertama dilantik dari Asia," katanya.

Menurut kenyataan itu, tahun lalu, pencapaian terbaik beliau ialah apabila CIMA UK Research Excellence Award 2021 menyampaikan dua anugerah iaitu 'Outstanding Contribution in Malaysia' dan 'Regional Champion (Asia Pasific) CIMA Coursework Teaching'.

"Pengajian Suzana bermula dengan Diploma Perakaunan dari ITM (kemudiannya UiTM) dan menyambung pembelajarannya di CIMA, London United Kingdom.

"Beliau mula berkhidmat sebagai pensyarah di UiTM pada 1991 setelah dianugerahkan Master in Accountancy (with Distinction) dari Curtin University of Technology, Perth, Australia.

"Pada 1997, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di Universiti Edinburgh, Scotland, England dalam bidang pengkhususan Pengurusan Perakaunan dan berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun sembilan bulan," katanya.

Beliau juga berpengalaman lebih 30 tahun dalam akademik, di samping memegang beberapa jawatan pentadbiran universiti sebagai Penolong Naib Canselor di Institut Kepimpinan & Pengurusan Kualiti (iLQAM) serta PNC Institut Kualiti & Perkembangan Ilmu (InQKA); Ketua Pusat Penyelidikan Perakaunan Pengurusan Asia (AMARC) dan Timbalan Dekan (Akademik), Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI).

"Beliau adalah seorang akauntan bertauliah dari Fellow Chartered Management Accountant (FCMA), UK, ahli Chartered Global Management Accountant (CGMA) dan Chartered Accountant (CA), MIA.

"Beliau sentiasa menerima undangan sebagai penceramah oleh organisasi luar seperti Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Pusat Pembangunan Profesional (IPNCPD), Institut Perakaunan Negara, CIMA Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), MIA dan Shell Brunei.

"Beliau juga adalah salah seorang Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Destini Berhad dan Pengerusi untuk dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Audit dan Jawatankuasa Risiko," katanya.

Sementara itu, Roziah melahirkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi di atas pelantikan Suzana sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UiTM.

"Pelantikan ini amat tepat dan saya percaya beliau dapat membantu pihak universiti dalam meningkatkan dan memperkasa agenda akademik dan antarabangsa melalui penyelidikan, inovasi, melebar luas jaringan industri, komuniti dan alumni sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM dalam mencapai visi bersama ke arah GRU 2025," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 4:43 PM