Prof Datuk Dr Roziah Omar
Prof Datuk Dr Roziah Omar
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (Mara), hari ini, mengumumkan pelantikan ahli akademik dan penyelidik, Prof Datuk Dr Roziah Omar sebagai Presiden Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang baharu, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Pengerusi Mara Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pelantikan adalah berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaiannya, yang pernah memegang beberapa jawatan utama sebelum ini di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Saya yakin dengan ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan, beliau akan menjalankan tugas dengan sebaiknya serta memperkukuhkan lagi kedudukan UniKL di dalam senarai antara universiti terbaik di Asia dan di dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Azizah berkata MARA yakin beliau akan dapat memacu kecemerlangan UniKL ke tahap yang lebih tinggi, sekali gus memastikan visi untuk menjadi sebuah universiti keusahawanan teknikal terunggul dalam negara, tercapai.

Roziah adalah seorang ahli akademik dan penyelidik yang berpengalaman dalam menjalankan penyelidikan, penulisan dan advokasi, bidang pembangunan sosial dan kesejahteraan.

Beliau sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting dalam bidang pendidikan, seperti Timbalan Ketua Pengarah Institusi Pendidikan Swasta (IPTS) di Kementerian Pengajian Tinggi.

Roziah turut memegang beberapa jawatan sebagai ahli lembaga pengarah universiti seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI), Universiti Malaya (UM), Kolej-Poly Tech MARA (KPTM) dan lain-lain.

Beliau memiliki ijazah sarjana muda dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1980 dan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat di peringkat sarjana dan kedoktoran.

Pada tahun 1992, beliau dianugerahkan ijazah kedoktoran dari University of California, Berkeley, Amerika Syarikat.

Beliau juga menghadiri kursus di Universiti Harvard pada tahun 2003 dan Judge Business School, Universiti Cambridge pada tahun 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 11:34 AM