GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberikan geran sepadan berjumlah RM50,000 untuk dimanfaatkan komuniti projek perumahan rakyat (PPR) Bukit Subang, dekat sini.

UiTM dalam kenyataan hari ini berkata, inisiatif itu sebahagian daripada program keusahawanan digital komuniti 'Flying High dan Financial Independence Entrepreneur (Fincent)' bagi memperkasakan komuniti B40 menerusi projek geran sepadan UiTM.

Katanya, program komuniti itu adalah satu aktiviti pemindahan ilmu dengan menganjurkan beberapa siri bengkel keusahawanan digital yang memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat setempat.

"Ia dilaksanakan menerusi penganjuran tiga siri bengkel keusahawanan digital yang memberi pendedahan, pengetahuan serta latihan secara langsung kepada 20 komuniti PPR Bukit Subang yang terpilih.

"Ia bertujuan memperkasakan perniagaan sedia ada membabitkan aplikasi teknologi maklumat, digitalisasi dan e-perdagangan.

"Antara modul yang disentuh adalah pendaftaran perniagaan, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran, operasi perniagaan dalam talian, fotografi, kanvas model perniagaan dan 'copywriting'," katanya.

Program ini mengguna pakai pendekatan model 'quadruple helix' yang melibatkan teknologi dan inovasi, penyelesaian pemasaran serta jualan lestari melalui usaha sama antara agensi kerajan dan industri iaitu Pfizer Malaysia, Lazada Malaysia, Agrobank dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut kenyataan itu, menerusi bengkel yang dijalankan, peserta berupaya menyediakan rekod dan pengurusan kewangan yang berkesan, kemahiran penggunaan media sosial, teknik mengambil gambar dan pendaftaran perniagaan.

Katanya, seramai 20 usahawan PPR Bukit Subang turut diberikan modal perniagaan berjumlah RM10,000 sebagai motivasi untuk memacu usahawan melonjakkan perniagaan mereka.

Pada masa sama, program ini juga turut mendekati pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang dari kumpulan B40.

"Seramai 85 pelajar didedahkan dengan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Selain itu, pendedahan terhadap ilmu keusahawanan serta pengurusan kewangan juga turut digarap, malah sebuah komputer dan pencetak berjumlah RM5,000 diberikan kepada pihak sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 9:47 PM