DR Zaliha Mustafa ketika sidang media selepas majlis Sambutan Hari Intergriti KKM 2023. FOTO Bernama
DR Zaliha Mustafa ketika sidang media selepas majlis Sambutan Hari Intergriti KKM 2023. FOTO Bernama
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiapkan maklum balas berhubung syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi Laporan Pengurusan Wabak Covid-19 termasuk berkaitan isu ventilator.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata, pihaknya bersedia memberikan sebarang maklumat yang diperlukan PAC.

"Kita sedang menyediakan laporan (maklum balas) untuk diserahkan kepada PAC bulan depan.

"Selebihnya, jika ada lagi yang diperlukan jawatankuasa itu, kami bersedia memberikan segala maklumat diperlukan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Integriti KKM di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, semalam yang memaklumkan jawatankuasa itu sudah menghantar surat kepada kepada KKM untuk menjawab berhubung syor berkaitan Laporan Pengurusan Wabak Covid-19.

Sebelum ini, Mas Ermieyatie dilaporkan berkata, PAC memberi masa dua bulan untuk KKM menjawab lima syor yang diberikan dalam laporan berkenaan, bagi membolehkan pihaknya membentangkan laporan kedua berhubung maklum balas itu.

Berdasarkan Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE), didapati tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan 104 unit ventilator berfungsi ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang turut menyaksikan 8.5 juta dos vaksin bernilai RM505 juta luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu.

Ditanya mengenai kesediaan KKM menghantar pasukannya ke Gaza, Dr Zaliha berkata, pihaknya sudah membuka permohonan secara dalam talian untuk mana-mana pegawainya yang bersedia menjadi sukarelawan ke negara bergolak itu.

Katanya, mana-mana pegawai dan anggota KKM yang berhasrat ke Gaza, akan menjalani latihan bagi mempersiapkan mereka dari segi kekuatan mental serta fizikal.

"Kita sudah membuka permohonan secara dalam talian untuk mana-mana anggota kesihatan yang bersedia dihantar ke sana. Kita juga akan melaksanakan latihan (kepada pemohon) tetapi berapa jumlah (yang sudah memohon) itu saya tak ada data ketika ini.

"Buat masa ini, kita tengah menunggu dan bekerja rapat dengan pasukan seperti Palang Merah di sana, manakala di sini kita bekerja dengan MERCY. Jadi itu persediaan di peringkat kami," katanya.

Berkaitan klinik daif, Dr Zaliha berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 511 premis itu dapat dibaik pulih menjelang hujung tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM111 juta.

"Tahun ini kita sasar 436 (klinik daif) yang akan kita selesaikan sebelum akhir tahun ini (membabitkan peruntukan) sebanyak RM111 juta.

"Tetapi disebabkan oleh penjimatan dan tata kelola yang baik dilaksanakan kementerian, kita akan menambah sebanyak 75 lagi klinik daif untuk kita selesaikan tahun ini dengan bajet yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 11:11 AM