Untuk melahirkan murid-murid yang holistik, ia bukan saja mempunyai keupayaan dari segi intelek tapi juga kemahiran lain termasuk jasmani, rohani dan spiritual. - FOTO Hiasan
Untuk melahirkan murid-murid yang holistik, ia bukan saja mempunyai keupayaan dari segi intelek tapi juga kemahiran lain termasuk jasmani, rohani dan spiritual. - FOTO Hiasan
Suliati Asri

PENDIDIKAN adalah bersifat dinamik dan progresif. Ia juga tidak statik, sekali gus membolehkan perubahan dilakukan seiring dengan peredaran zaman.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa melihat kepada perubahan terutama dalam era pendidikan digital yang semakin diterima pakai kebanyakan negara berikutan ia selari dengan matlamat Sustainable Development Goal 4 (SDG4), iaitu memberikan pendidikan berkualiti yang menyeluruh dan saksama.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Pembangunan Profesionalisme, Shafruddin Ali Hussin berkata untuk terus seiring dengan peredaran zaman, kita perlu menyediakan murid-murid dalam kapisiti yang bersesuaian dengan mereka.

Menurutnya, kita juga perlu menyediakan ruang lingkup atau prasarana bersesuaian kepada murid untuk belajar apa yang diperlukan kini.

"Oleh itu, KPM tidak mengadakan sukatan ataupun kurikulum berdasarkan kepada generasi terdahulu tetapi untuk generasi akan datang.

"Ini kerana, mereka perlu bersedia daripada sekarang," katanya.

Shafruddin berkata KPM mempunyai falsafah pendidikan kebangsaan (FPK) yang menepati setiap era.

Untuk melahirkan murid-murid yang holistik, ia bukan saja mempunyai keupayaan dari segi intelek tapi juga kemahiran lain termasuk jasmani, rohani dan spiritual.

"Oleh itu, KPM tampil dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, bagi memenuhi aspirasi pembangunan ke arah negara maju yang terdidik dalam erti kata sebenar dan akan diperbaharui dari masa ke semasa.

"Jadi itulah sebenarnya hasrat kita dalam menyediakan murid untuk masa akan datang. Satu hari nanti, kita berharap di mana saja murid-murid ini ditempatkan, mereka boleh menjadi pekerja ataupun sumber manusia yang boleh digunakan dalam tuntutan zaman mereka," katanya.

Mengenai penggunaan media sosial dalam kalangan guru, Shafruddin berkata mereka juga seperti penjawat awam yang mempunyai etika dalam profesion yang perlu dipatuhi.

Katanya, di KPM, Etika Keguruan dalam Standards Guru Malaysia (SGM) 2.0 dibina berasaskan Tata Susila Profesion Perguruan Malaysia (TPPM) mengandungi prinsip yang dicadangkan Laporan Aziz (1971) dan menjadi rujukan tatasusila untuk profesion keguruan di Malaysia sehingga ke hari ini.

"SGM 2.0 ini terbahagi kepada dua iaitu kompetensi yang mahu dicapai seperti ilmu pengetahuan, kualiti peribadi dan pembelajaran dalam bilik darjah.

"Kedua, etika iaitu tanggungjawab guru terhadap profesion, murid, ibu bapa, masyarakat dan negara.

"Jadi, walau apa pun yang guru lakukan sebagai rakyat, mereka juga terikat dengan peraturan sebagai penjawat awam," katanya.

Dalam konteks media sosial pula, Shafruddin berkata KPM sememangnya menggalakkan guru-guru terbabit dengan TikTok, Facebook, Instagram dan apa saja yang boleh menyokong kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka.

"Apa saja kaedah menyokong yang boleh menarik minat murid atau pendekatan baru secara hibrid yang dilaksanakan, kita dibenarkan tetapi mereka perlu ingat, ada peraturan-peraturan juga.

"Sebagai contoh hak, keselamatan dan maruah murid (tidak dimalukan). Itu yang sebenarnya mengikat mereka dalam melakukan apa saja perubahan dengan menggunakan media sosial," katanya.

Menyentuh soal kredibiliti guru, tanggungjawab ibu bapa dan murid dalam dunia pendidikan hari ini, Shafruddin berkata, KPM perlu menerima hakikat bahawa ibu bapa semakin cakna kerana apa saja isu dalam media sosial yang dirasakan memerlukan perhatian KPM, akan dibangkitkan dan mengharapkan maklum balas.

Justeru, guru-guru juga perlu sentiasa prihatin kepada apa yang diutarakan ibu bapa dalam PdP.

Dalam SGM memang sudah jelas guru perlu bertanggungjawab pada profesion mereka iaitu memastikan apa yang disampaikan dalam PdP ataupun apa saja yang digunakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan adalah yang terbaik.

"Guru turut digalakkan menambah ilmu pengetahuan, menggunakan kaedah-kaedah pendekatan terkini, mendapat latihan dan sebagainya.

"Begitu juga peranan guru, pembabitan dan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa," katanya.

Menurutnya, di dalam SDG dan di peringkat antarabangsa, penting untuk guru menjaga dua teras iaitu hak dan keselamatan murid.

"Masukkan gambar murid tanpa kebenaran ibu bapa dan murid dalam TikTok ataupun Facebook, sepatutnya tidak berlaku. 

"Namun, kebanyakan guru-guru sudah mempunyai kebenaran dari ibu bapa dan murid-murid juga suka, ia tidak jadi masalah. 

"Jadi, pada dasarnya memang kita tidak ada halangan untuk guru-guru terbabit dalam media sosial yang akan membantu mereka menyediakan kandungan dan meningkatkan kualiti pendidikan dan sebagainya, "katanya.

Menyentuh mengenai cabaran generasi alpha, Shafruddin berkata mereka ini sentiasa terikat dengan peranti kerana sudah didedahkan dengannya lebih awal.

"Kalau mereka terikut dengan digital atau peranti dan sebagainya, mereka akan menghabiskan sebahagian besar kehidupan dengannya.

"Sedangkan dalam dunia sebenar mereka mesti berhadapan dengan rintangan, halangan dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan apa yang ditekankan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek iaitu membentuk karamah insaniah atau karakter," katanya.

Justeru, selain guru, ibu bapa juga perlu peka dalam mendidik generasi alpha.

Guru turut digalakkan menambah ilmu pengetahuan. - FOTO Hiasan

"Tidak menjadi masalah jika anak diberikan peranti tetapi ibu bapa perlu mewujudkan suasana atau aktiviti supaya kemahiran untuk mengatasi halangan atau gangguan dapat diterapkan.

"Kemahiran-kemahiran ini hanya boleh diperoleh apabila mereka menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum dan bermain di luar.

"Oleh itu, galakkan mereka menyertai aktiviti kokurikulum, sukan, permainan kerana ia membolehkan mereka mempelajari banyak perkara termasuk bersosial," katanya.

"Anak-anak yang tidak pandai bersosial jika menghadapi masalah, mereka tidak tahu bagaimana untuk meluahkan sekali gus menjadikan mereka mudah melakukan kesilapan terutama dalam kehidupan.

"Generasi alpha ini juga sangat cekap dalam menghasilkan kertas kerja dan mendapat ilmu dari penyelidikan sendiri.

"Nasihat saya, generasi alpha ini berbeza dengan generasi lain. Oleh itu, ibu bapa perlu memantau anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 5:43 PM