FADHLINA (depan, tudung pink) menyantuni kanak-kanak sekolah rendah yang menyertai Program Kecergasan KPM sempena Hari Sukan Negara 2023 Peringkat negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar. - Gambar NSTP/AIZAT SHARIF
FADHLINA (depan, tudung pink) menyantuni kanak-kanak sekolah rendah yang menyertai Program Kecergasan KPM sempena Hari Sukan Negara 2023 Peringkat negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar. - Gambar NSTP/AIZAT SHARIF
Aizat Sharif

Program Kecergasan Kementerian Pendidikan (KPM) sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2023 yang berlangsung pada 14 Oktober lalu di sini, dilihat mampu membentuk satu gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan masyarakat selain menjadikan sukan sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kolaborasi antara kerajaan persekutuan menerusi KPM dengan kerajaan negeri Perlis selaku tuan rumah program berkenaan berjaya menjadikan program berkenaan sebagai satu acara tahunan sempena HSN.

"Penganjuran program seumpama ini bagus kepada murid dan belia terutama dalam melestarikan bakat pelajar menerusi PAK-21 yang membawa satu murid, satu sukan.

"Alhamdulilah, kita dapat bersama untuk meraikan HSN Peringkat Negeri Perlis dan dalam masa yang sama juga Hari Kecergasan KPM, saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan seluruh pimpinan (kerajaan) negeri Perlis yang turut bersama pada pagi ini.

"Ini menunjukkan satu contoh yang agak baik di mana kolaborasi antara kerajaan persekutuan dan negeri mampu membawa program ini diberi sambutan yang meriah oleh rakyat Perlis sendirinya khususnya warga KPM serta anak ABC (Gagasan Anak Yang Baik lagi Cerdik) kita," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini, pada Sabtu lalu.

Katanya, pihaknya bukan sahaja mahukan acara ini dijadikan program tahunan tetapi sasarannya adalah lebih besar daripada itu.

"Kita bukan sahaja hendak (program) ini dibuat atau diacarakan setiap tahun tetapi adalah besar hasrat kita untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat kita dalam program ini.

"Jadi mudah-mudahan insya-Allah kita akan saksikan akan banyak lagi sukan yang akan dipamerkan dan yang paling penting adalah bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia meraikannya secara bersama-sama dalam suasana rukun damai.

"Selain itu, pastinya untuk mencapai tahap kecergasan dan juga budaya yang disebut sebagai healthy life atau budaya sihat dan cergas yang mesti bersama-sama kita memberikan komitmen sepenuhnya demi kesihatan dan kemakmuran negara ini," katanya.

Terdahulu, Fadhlina bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli diiringi hampir 1,000 orang dari pelbagai lapisan usia melakukan aktiviti fun walk sekitar satu kilometer yang diadakan di pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra di kompleks sukan itu.

Beliau turut meninjau aktiviti sukan yang dianjurkan serta dijalankan di sepanjang pekarangan stadium itu yang turut disertai oleh murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh Perlis.

Pelbagai aktiviti kecergasan dan sukan akan dilaksanakan pada hari terbabit seperti senamrobik, fun walk, pertunjukan dan klinik lompat tali, pertandingan bola sepak, klinik sukan frisbee, hoki, ragbi, woodball dan memanah, showcase agensi kerajaan seperti Majlis Sukan Negeri Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dan agensi swasta seperti Enervive, Ideria dan ESport.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Muhammad Azmir Azizan, Pengarah Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Mohd Nizam Mat Daud.

Sementara itu, peserta dan pengunjung program berkenaan melihat penganjuran program kecergasan ditambah dengan pelbagai aktiviti riadah dapat melestarikan bakat murid dan belia tidak hanya dalam bidang sukan tetapi dalam pelbagai bidang yang lain.

Pemain papan selaju profesional Perlis, Hazim Mohd Nasir, 29, dari Kangar berkata, program itu dapat mencungkil bakat pelajar dan belia dalam bidang sukan sesuai dengan sistem Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

"Penganjuran program seumpama ini bagus kepada murid dan belia terutama dalam melestarikan bakat pelajar menerusi PAK-21 yang membawa satu murid, satu sukan.

"Jadi tidak hanya bertumpu kepada akademik semata-mata tetapi kegiatan kokurikulum juga boleh dicungkil dengan adanya program ini," katanya.

Bagi pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar, Alifah Ilyana Mohd Nizar, 18 menyifatkan penganjuran program kecergasan ini membolehkan dia bersama rakannya melakukan aktiviti sukan bersama secara beramai-ramai.

"Macam hari ini, saya dengan rakan sekelas melakukan aktiviti sorakan kepada Menteri dan Menteri Besar negeri kita.

"Saya berharap ia dapat dilakukan sekurang-kurangnya dua tahun sekali kerana sambutannya sangat memberangsangkan," katanya.

Manakala rakannya, Nur Hazirah Marzuki, 18, berharap penganjur dapat menambah lagi pelbagai aktiviti supaya pembabit- kan masyarakat lebih menyeluruh daripada pelbagai peringkat usia.

Program Kecergasan KPM diperkenalkan pada 2007 dan sempena edisi tahun ini, ia dilaksanakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar dimana dianggarkan seramai 5,500 orang yang terdiri daripada murid, guru, warga KPM, ibu bapa, komuniti setempat, persatuan sukan dan agensi swasta dan kerajaan yang lain mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Malah, program berkenaan turut membabitkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari negeri Perlis berjumlah 50 orang semasa aktiviti fun walk.

Pelbagai program sukan dirancang dan dilaksanakan pada pelbagai peringkat bermula daripada peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Selain itu juga, program ini berkenaan sejajar dengan Dasar 1Murid 1Sukan yang menggalakkan semua murid untuk bergiat aktif dalam bidang sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 3:53 PM