Fadhlina menerangkan tentang artifak negara kepada peserta Eksplorasi Merdeka ketika Majlis Perasmian Penutupan Eksplorasi Merdeka di Muzium Negara. - FOTO Hiasan
Fadhlina menerangkan tentang artifak negara kepada peserta Eksplorasi Merdeka ketika Majlis Perasmian Penutupan Eksplorasi Merdeka di Muzium Negara. - FOTO Hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

BAGI meningkatkan minat murid terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP), program dikenali sebagai Eksplorasi Merdeka @Muzium 2023 dianjurkan dengan membabitkan aktiviti luar kelas.

Program ini juga bagi mengupayakan potensi guru dalam menghasilkan PdP yang kreatif, inovatif dan bermakna serta membabitkan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama-sama Jabatan Muzium Malaysia.

Ia diadakan untuk memberi peluang kepada pihak berkepentingan khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bekerjasama membentuk persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid dan guru dalam usaha melahirkan modal insan yang sihat dari segi jasmani, emosi, intelek dan sosial seiring dengan sambutan hari kemerdekaan negara.

Program eksplorasi ini membabitkan penyertaan 207 sekolah sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan yang disertai 621 peserta.

Eksplorasi ini membabitkan aktiviti kumpulan terdiri daripada seorang guru dan dua murid yang melaksanakan larian sejauh tiga kilometer sekitar kawasan Taman Tasik Perdana dengan berpakaian etnik kreatif.

Peserta turut melakukan ujian kecergasan dikenali sebagai SEGAK sebelum mengimbas kod QR bagi menyelesaikan tugasan di empat muzium iaitu Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu, Muzium Seni Kraf Orang Asli dan Galeri Muzik.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Eksplorasi Merdeka @Muzium 2023 berkata, pihaknya sedang menggerakkan agenda pendidikan penting membabitkan pembelajaran di luar kelas, yang selari dengan surat pekeliling ikhtisas (SPI).

Sebab itu bila kita umumkan SPI yang baru khususnya berkaitan dengan lawatan anak-anak keluar sekolah, ia harus segera disambut oleh semua sekolah.

"Serta menyediakan program pembelajaran di luar kelas dengan lebih efektif dan efisien," katanya di Dataran Muzium Negara.

Fadhlina berkata, setiap murid juga kini berpeluang keluar dan menikmati lawatan sebanyak dua kali setahun.

Katanya, guru juga tidak perlu bimbang dan boleh mula merancang lawatan keluar sekolah kerana ia adalah sebahagian daripada aktiviti PdP.

"Jadi bertambah peluang untuk mereka keluar dan melakukan pembelajaran di luar kelas.

"Setiap kali lawatan yang dianjurkan di muzium atau tempat lain, akan dikira sebahagian daripada PdP," katanya.

Katanya, lawatan ke Muzium Negara adalah antara contoh aktiviti luar sekolah yang boleh memberi banyak manfaat kepada murid.

Beliau berkata, lawatan ini membolehkan murid mempelajari mengenai sejarah, tokoh, artifak dan replika yang dipamerkan.

"Manfaat daripada (lawatan ke) muzium ini sangat besar dan disebabkan itu, program seperti ini akan terus mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya sambil menambah lawatan turut boleh dilakukan di Pusat Sains Negara.

Beliau turut menyarankan agar murid untuk mendaftar melalui program bermalam di muzium bagi mendapat manfaat dan pengalaman melaluinya.

"Saya difahamkan program ini mendapat sambutan yang cukup hangat sampai tidak cukup tempat. Kita memberikan sokongan untuk program ini diteruskan kerana ia memberi banyak manfaat," katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata, program Eksplorasi Merdeka yang dianjurkan disifatkannya dapat memperkukuhkan perpaduan di negara ini.

"Dalam keadaan hari ini, perpaduan kita lihat sebagai satu keutamaan dalam negara. Jangan sesekali kita ambil mudah soal perpaduan ini. 

Ini adalah keunikan dan kekuatan kita. Seharusnya perpaduan ini akan terus diperkuat, diperkaya dan memastikan negara ini berada di landasan yang betul bagi menjamin kestabilan negara," katanya.

Manfaat ilmu dengan pembelajaran luar kelas

Program Eksplorasi Merdeka @Muzium 2023 yang dianjurkan disifatkan dapat memanfaatkan ilmu dipelajari oleh murid sebelum ini di sekolah masing-masing.

Guru Pendidikan Seni, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Farahiyah Karim, 41 berkata, melalui penganjuran program seperti ini, ia membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah berlaku membabitkan subjek seperti Sejarah, Pendidikan Jasmani dan Muzik.

"Di luar pun kita boleh memanfaatkan ilmu yang kita belajar melalui buku teks. Sebagai contoh, ada soalan kuiz Sejarah yang melibatkan silibus bermula daripada menengah rendah sehingga menengah atas.

Guru Pendidikan Seni, Farahiyah Karim. - FOTO Hiasan

"Manakala soalan kuiz Muzik pula ada soalan penerapan nilai-nilai seni dan kebudayaan. Apa yang mereka belajar sebelum ini, dapat diaplikasikan dalam aktiviti eksplorasi ini," katanya ketika ditemui Harian Metro di Dataran Muzium Negara.

Program eksplorasi ini membabitkan penyertaan 207 sekolah sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan yang disertai 621 peserta.

Ia membabitkan aktiviti kumpulan terdiri daripada seorang guru dan dua murid yang melaksanakan larian sejauh tiga kilometer sekitar kawasan Taman Tasik Perdana dengan berpakaian etnik kreatif.

Farahiyah berkata, dengan penganjuran program seperti ini, ia mendatangkan minat kepada murid untuk menyertainya seterusnya meningkatkan ilmu pengetahuan mereka tentang sesetengah subjek yang dipelajari di sekolah masing-masing.

"Kalau kita beri pendedahan, memang ramai yang akan berminat. Saya rasa program seperti ini boleh dibuat setiap tahun dan dapat menarik ramai penyertaan.

"Selain itu, program seperti ini juga haruslah merangkumi keseluruhan mata pelajaran dan tidak ditumpukan kepada satu-satu subjek.

"Kalau boleh, ia seharusnya terbuka bagi semua subjek dan tak payah skopkan mata pelajaran tertentu," katanya.

Katanya, program seperti ini juga amat bermanfaat kepada guru dan murid kerana dapat melihat kerjasama antara satu sama lain terutama dalam menjawab kuiz.

Farahiyah berkata, pihak sekolah juga seharusnya menggalakkan aktiviti lawatan ke muzium kerana murid dapat menambah ilmu pengetahuan mereka.

"Dengan mengadakan lawatan, murid-murid dapat mempelajari sesuatu yang baru selain daripada belajar menggunakan buku teks. Di sini, ada pengalaman baru buat mereka," katanya.

Murid Sekolah Kebangsaan Convent Jalan Peel, Megan Ho Sher Lynn, 12, pula menyatakan dia gembira menyertai program Eksplorasi Merdeka @Muzium 2023 ini.

Katanya, dengan menyertainya, dia dapat bekerjasama dengan rakan serta gurunya bagi menjawab kuiz yang disediakan oleh pihak penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 1:28 PM