Fadhlina (dua dari kiri) merasmikan 3rd ICELAM 2023 sambil disertai Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali (kiri) dan Rohayati (kanan). - Gambar NSTP/FATHIL ASRI
Fadhlina (dua dari kiri) merasmikan 3rd ICELAM 2023 sambil disertai Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali (kiri) dan Rohayati (kanan). - Gambar NSTP/FATHIL ASRI
Suliati Asri

Kemenjadian ataupun kejayaan sesebuah sekolah itu bergantung kepada kepemimpinannya.

Justeru, Persidangan Antarabangsa Kepimpinandan Pengurusan Pendididikan kali 3, 2023 (3rd ICELAM 2023) yang berlangsung pada 2 hingga 5 Oktober diharap dapat melahirkan pemimpin pendidikan yang sedia menghadapi cabaran semasa di luar jangkaan dan berbeza mengikut lokaliti organisasi.

3rd ICELAM 2023 adalah kesinambungan kepada 1st ICELAM 2019 berlangsung pada 1 hingga 4 Oktober 2019, manakala 2nd ICELAM 2021 pada 29 hingga 30 September 2021 yang dianjurkan dua tahun sekali oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).

Bertemakan Sustaining and Retaining Human Dignity in Educational Leadership and Management (ELM) persidangan kali ini disertai 810 peserta secara bersemuka dan 2,000 penyertaan dalam talian yang terdiri daripada pemimpin sekolah dan organisasi pendidikan dari dalam dan luar negara.

Pemilihan tema sejajar dengan agenda utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu mengangkat karamah insaniah menerusi pengekalan dan pemeliharaan martabat manusia dalam kepemimpinan dan pengurusan pendidikan.

Pengarah Institut Aminuddin Baki, Rohayati Abd Hamed berkata, penganjuran ini bertujuan menyediakan platform kepada pemimpin dan pengurus organisasi pendidikan berkongsi pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan pada era baharu.

Katanya, ia platform untuk mewujudkan jaringan dalam kalangan pemimpin pendidikan, ahli akademik dan pemikir serta penyelidik dari dalam dan luar negara untuk membincangkan isu serta cabaran terkini bidang pendidikan.

"Saya rasa yang paling penting 3rd ICELAM 2023 dapat mengetengahkan Institut Aminuddin Baki(IAB) sebagai institusi peneraju dalam bidang latihan kepemimpinan pendidikan di peringkat global," katanya dalam sesi temuramah khas bersama Harian Metro selepas majlis perasmian 3rd ICELAM 2023 yang disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

ImageFadhlina beramah mesra dengan peserta yang hadir

Berlangsung di IAB Cawangan Genting Highlands, pengisian 3rd ICELAM terdiri daripada penyampaian ucaptama, Master Class , pembentangan amalan terbaik dan sesi pembentangan selari berkaitan kepimpinan dan pengurusan pendidikan serta lawatan penandaarasan ke sekolah Permata Kurnia.

"Bagi sesi Master Class, ia dikendalikan empat penyampai ucaptama yang pakar (true- expert) dalam bidang akademik dan pendidikan mencakupi bidang kepemimpinan instruksional, pengurusan perubahan untuk membangunkan pendidikan manusiawi dan pendigitalan dalam pendidikan.

"Sesi ini bertujuan membantu peserta lebih menguasai bidang terbabit untuk diaplikasi dalam organisasi masing-masing.

"Peserta berpeluang berinteraksi dan memberi respons bersama pakar dalam sesi ini, "katanya.

Pengisian seterusnya pembentangan amalan terbaik disampaikan enam pembentang terdiri daripada pemimpin dari dalam dan luar negara.

Rohayati berkata, sesi pembentangan selari akan mengupas beberapa sub tema berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari 4 (SDG) 4 atau Matlamat Global 4 di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) memfokuskan pendidikan berkualiti bertujuan memastikan pendidikan inklusif dan saksama serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

"Selain itu, sesi pembentangan selari juga memberi penekanan kepada pembudayaan adab, akhlak dan integriti dalam pembentukan karamah insaniah.

"Antara yang saya rasa sangat menarik pada sesi amalan baik ini adalah pembentangan mengenai pedagogi oleh pensyarah kita daripada Institut Perguruan Temenggung Ibrahim yang memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah orang asli," katanya.

Sepanjang persidangan tiga hari ini, 3rd ICELAM 2023 mengumpulkan 54 kertas pembentangan sesi selari yang mana setiap kertas kerja melalui proses penilaian editor dan pewasit yang dilantik mengikut kepakaran bidang masing-masing.

"Setiap kertas kerja dibentangkan akan dipilih sebagai artikel terbaik dan pembentang terbaik. Artikel terbaik akan diterbitkan dalam Jurnal Germene, UNIZA, Jurnal Tempawan dan Jurnal Pengurusan dan Pendidikan IAB.

"Semua artikel dibentangakan diterbitkan dalam Buku Prosiding 3rd ICELAM 2023 sebagai koleksi aktiviti kesarjanaan setiap warga pendidik. Oleh itu, ini satu peningkatan kepada pembangunan profesionalisme peserta," katanya.

Mengulas bagaimana persidangan ini dapat memanfaatkan guru dan peserta dari segi profesionalisme, Rohayati berkata, dalam konteks ini, ia dapat dilihat secara jelas melalui nteraksi peserta tempatan dan antarabangsa.

Katanya, menerusi interaksi itu ia dapat membuka mata, pengalaman dan pandangan peserta khususnya pemimpin pendidikan di peringkat sekolah, institusi, pensyarah atau konduktor mengenai amalan terbaik yang dilaksanakan di negara berkaitan.

"Kalau dalam kalangan peserta tempatan pula, saya rasa bukan semua orang dalam Malaysia ataupun semua pengetua guru besar tahu apa yang berlaku di setiap sekolah.

"Jadi perkumpulan ataupun konvensyen ini memberi mereka peluang untuk berbincang dan mengetahui apa amalan terbaik yang boleh dilaksanakan bersama," katanya.

Pameran yang diadakan semasa persidangan ini juga secara tidak langsung berkongsi aktiviti yang dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Rohayati berkata, contoh yang dirasakan sangat baik adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Kota, Kota Bharu, Kelantan yang mempunyai koperasi menjana pendapatan sampai RM1.3 juta.

"Biasanya sekolah akan minta bantuan daripada pihak berkaitan tapi di sekolah ini, Koperasi yang bantu sekolah.
"Ini antara perkara saya rasa perlu didedah kepada peserta khususnya di peringkat sekolah untuk buka mata mereka mengenai pelbagai inisiatif dan aktiviti boleh dilakukan untuk tambah baik," katanya.

Kemudian, dalam konteks kepemimpinan pendidikan, ramai peserta yang datang pemimpin sekolah yang masih dengan tradisi Melayu dan timur yang tidak mahu menonjolkan diri walaupun sekolah itu contoh yang terbaik.

"Jadi melalui interaksi antara peserta, ia boleh menjelaskan ataupun melihat contoh terbaik serta pengalaman pembentang luar negara dalam bidang yang boleh membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 11:42 AM