ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan kepala zip yang tersangkut dalam hidung kanak-kanak. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan kepala zip yang tersangkut dalam hidung kanak-kanak. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain


Klang: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menahan kesakitan kira-kira satu jam selepas kepala zip beg sekolah tersangkut di dalam hidungnya, petang tadi.

Kejadian terbabit disedari ibu kanak-kanak berusia 37 tahun itu kira-kira 6.30 petang selepas pulang dari kerja dan membawanya ke sebuah klinik swasta di sini sebelum ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar untuk mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas bagi membantu kanak-kanak itu pada 7.32 malam.

"Ibu mangsa membawanya ke BBP Kapar dan bomba mendapati ada kepala zip beg sekolah tersangkut dalam hidung kanak-kanak lelaki itu.

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan kepala zip berkenaan dengan mengambil masa kira-kira enam minit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya difahamkan kepala zip berada dalam hidung kanak-kanak itu, sejak kira-kira 6 petang tadi.

"Ibu mangsa memaklumkan kejadian dipercayai berlaku selepas dia bermain dengan beg sekolahnya sebelum zip berkenaan tersangkut di dalam hidungnya," katanya.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang kecederaan pada kanak-kanak itu dan dia diserahkan kepada ibunya dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 11:04 PM