Mohana Dass dibawa keluar selepas dituduh di Mahkamah Majistret Muar kerana mengedar heroin dan Methamphetamin. FOTO Alias Abd Rani
Mohana Dass dibawa keluar selepas dituduh di Mahkamah Majistret Muar kerana mengedar heroin dan Methamphetamin. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Muar: Seorang pengerusi pertubuhan di daerah ini berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas dua pertuduhan mengedar heroin dan Methamphetamin, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh Mohana Dass Bhaskaran, 73, didapati mengedar dadah jenis heroin seberat 109.56 gram (g) di sebuah rumah di Jalan Ibrahim di sini, pada jam 10.30 malam, 20 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia juga didakwa mengedar Methamphetamin seberat 80.40g dengan semua kejadian dan masa berlaku di tempat sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Jika tidak dengan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan sehingga 12 kali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili R K Bala.Mahkamah tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 2:49 PM