Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki yang juga penganggur bersama tunangnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine, heroin dan kodien.

Tertuduh, Mohamad Amirul Aliff Mat Jusoh, 22, berdepan tujuh pertuduhan manakala Nurin Rasyiqah Adabiah Mat Ideris, 21, berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohamad Amirul Aliff didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,797.7 gram (g) dan 833.7g di belakang rumah di Jalan Jambu Bongkok, Kampung Jambu Bongkok, Marang pada 1.10 pagi pada 20 Februari lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin dengan berat kasar 1,096.8g di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi setiap kesalahan itu, Mohamad Amirul Aliff yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.

Mohamad Amirul Aliff turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) kerana mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat 152.1g dan 65.3g di tepi jalan kawasan Kampung Jambu Bongkok, Marang 1 pagi hari sama.

Selain itu, tertuduh lelaki turut berdepan dua lagi pertuduhan yang dibacakan bersama dengan tunangnya.

Mereka didakwa secara bersama-sama mengikut Seksyen 39B(1)(a) kerana mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 102.1g.

Pasangan itu turut didakwa memiliki dadah jenis kodein dengan berat kasar 4.5 liter.

Dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Jambu Bongkok, Kampung Jambu Bongkok, Marang pada masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama berdepan hukuman denda RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, tindakan penganggur menanam dadah di kawasan rumah sewanya di Kampung Jambu Bongkok, Merchang, Marang bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:16 PM
MOHAMAD Amirul Aliff dan Nurin Rasyiqah Adabiah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
MOHAMAD Amirul Aliff dan Nurin Rasyiqah Adabiah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY