Alias Abd Rani


Muar: Seorang peniaga rokok elektrik atau vape dipenjara sehari dan denda RM2,300 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan rakan menggunakan botol kaca, Ahad lalu.

Tertuduh, Toh Choo Yee, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mencederakan mangsa berusia 23 tahun dengan mengambil botol kaca lalu memukul di kepala.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika tertuduh dalam keadaan mabuk, menyebabkan mangsa cedera di kepala serta menerima jahitan di dahi.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Alif Marzuki manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tertuduh serta kecederaan dialami mangsa.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon hukuman diringankan dengan mengambil kira pengakuan tertuduh yang menjimatkan masa dan kos ditanggung kerajaan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Toh dibawa keluar selepas Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda dan penjara. FOTO Alias Abd Rani
Toh dibawa keluar selepas Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda dan penjara. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 4:39 PM