Alias Abd Rani


Muar: Seorang penganggur dipenjara sehari dan denda RM1,400 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak lelakinya berusia lapan tahun, Ogos lalu.

Tertuduh yang berusia 36 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Menurut fakta kes, laporan polis dibuat oleh seorang pegawai perubatan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar selepas mangsa memberitahu tertuduh memukulnya menggunakan rotan di sebuah rumah di Taman Beting, di sini pada 2.34 petang, 8 Ogos tahun lalu.

Susulan itu tertuduh ditahan pada keesokan hari dan didakwa didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama kerana menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Bagi Seksyen 323, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda manakala Seksyen 326A, tempoh penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang mana boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan mengikut seksyen relevan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabihah Mohd Noor manakala tertuduh diwakili Tay Che Fu.

Terdahulu, Tay memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan kerana perlu menjaga lima anak serta ibunya lumpuh. Namun Nabihah meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, hari ini selepas mengaku salah mendatang kecederaan terhadap anaknya. FOTO Alias Abd Rani
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, hari ini selepas mengaku salah mendatang kecederaan terhadap anaknya. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 1:44 PM