Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki warga emas pada Rabu lalu.

Tertuduh, Lawrence Young Meng Seang Seang 43, yang kelihatan agak keliru pada mulanya menyatakan dia bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Manomani Ramanathan.

Bagaimanapun, tertuduh pantas menukar pengakuan dan memohon untuk dibicarakan selepas Manomani menjelaskan dia boleh dikenakan hukuman penjara atas kesalahan terbabit.

"Saya tak mahu penjara. Minta bicara kalau macam itu," katanya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang cahaya mata itu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Leong Poh Pin, 79, di Jalan Fettes pada kejadian jam 1.51 tengah hari.

LAWRENCE Young menutup muka (depan dua kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di  pertuduhan mencederakan seorang lelaki warga emas di sini, hari ini. FOTO Aminah Yusof
LAWRENCE Young menutup muka (depan dua kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di pertuduhan mencederakan seorang lelaki warga emas di sini, hari ini. FOTO Aminah Yusof

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Zaida Azuwa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 14 Disember ini.

Rabu lalu, tular di media sosial seorang pemandu kereta warga emas dipukul seorang penghantar makanan selepas kedua-duanya dikatakan terbabit kemalangan.

Beberapa gambar dan satu rakaman video 'dashcam' turut menunjukkan motosikal yang ditunggang penghantar makanan terbabit terbalik menyebabkan dia tidak berpuas hati dan memukul pemandu kereta berkenaan sebelum dileraikan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 12:56 PM