KERAJAAN bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus berkuat kuasa pada 1 Mac ini.
KERAJAAN bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus berkuat kuasa pada 1 Mac ini.
Oleh Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kerajaan sebaik mungkin hanya ingin mencukai kumpulan yang paling kecil menerusi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berbanding melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan semua 30 juta rakyat Malaysia perlu membayar cukai kepenggunaan itu, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, jumlah syarikat yang perlu membayar SST dijangka meningkat sedikit berikutan pertambahan tiga bidang perkhidmatan baharu namun jumlahnya diperakui lebih kecil berbanding jika cukai itu ditukar kepada GST.

Katanya, SST bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya ia cukai yang lama dilaksanakan dan ia bukan sesuatu perkara yang berlaku ketika Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, akta itu sememangnya sudah ada dari dulu dan mana-mana syarikat yang mencapai syarat perlu membayar SST.

"Memang prosesnya dari satu tahun ke tahun ketika belanjawan, kerajaan berhak menentukan perkhidmatan dan barang mana tertakluk kepada cukai dan kadarnya.

"Sebaik mungkin, kita hanya ingin mencukai kumpulan yang paling kecil dan kalau kita buat GST semua 30 juta rakyat Malaysia kena bayar," katanya pada Episod 3 Podcast Yang Bakar Menteri (YBM) yang disiarkan di platform media sosialnya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, SST sebelum ini membabitkan 500,000 syarikat, namun dengan ada pertambahan tiga bidang perkhidmatan yang baharu, ia bermakna jumlahnya akan bertambah sedikit.

Namun, beliau menjelaskan, jumlah mereka yang perlu membayar cukai itu masih begitu kecil berbanding jika cukai tidak langsung ini ditukar kpd GST.

"Itu pendekatan yang kerajaan buat sekarang ini daripada kita mencukai semua, tetapi memberi tumpuan kepada cukai atau kumpulan di mana cakupan cukai adalah terhad dalam kumpulan tertentu.

"Dalam kes SST ini adalah kepada syarikat dan pengguna yang menggunakan perkhidmatan tertentu," katanya.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus berkuat kuasa pada 1 Mac ini.

Agar tidak membebankan rakyat, kerajaan berkata, peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

Mengikut laporan, kerajaan dijangka menjana pendapatan cukai perkhidmatan tambahan sebanyak RM900 juta pada tahun ini berikutan rancangannya untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus serta meluaskan skop perkhidmatan bercukai itu.

Ketua Bahagian Percukaian Deloitte Malaysia, Sim Kwang Gek sebelum ini dilaporkan berkata, kesan segera kepada perniagaan ialah peningkatan kos menjalankan perniagaan kerana kenaikan cukai perkhidmatan akan disalurkan kepada pengguna dan perniagaan pada akhirnya.

"Seperti yang kita sedia maklum, rejim cukai jualan dan perkhidmatan mempunyai kesan 'cukai ke atas cukai' dan akan menyebabkan harga lebih tinggi.

"Bagi menampungnya, kerajaan diharap akan memperluaskan pengecualian perniagaan ke perniagaan yang kini terpakai kepada perkhidmatan bercukai tertentu yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Percukaian PwC Malaysia, Jagdev Singh, berpandangan bahawa kenaikan cukai perkhidmatan nampaknya satu langkah sementara sehingga kerajaan bersedia untuk melaksanakan cukai penggunaan secara meluas dalam bentuk GST.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 6:00 AM