GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 11.8 peratus.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, Malaysia tertinggal di belakang Singapura serta Thailand, dan sedang berusaha untuk mengejar. Kedua-duanya menggunakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) termasuk Nilai Tambah (VAT).

"Kita sebenarnya jauh tertinggal disebabkan negara jiran mengguna pakai GST dan baru-baru ini misalnya, Singapura meningkatkan kadar cukai, jadi, kutipan cukai kita masih jauh lebih rendah.

"Semasa mengenakan GST dahulu, Malaysia mengutip sehingga RM40 bilion, sekarang dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kita hanya kutip kurang daripada RM30 bilion dan hasil daripada sektor perkhidmatan tidak sampai separuh," katanya kepada Bernama.

Barjoyai berkata, secara keseluruhan, kutipan SST hanya menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah kutipan cukai.

Ketua Cukai Tidak Langsung PwC Malaysia, Raja Kumaran berkongsi pandangan sama, sambil menyatakan bahawa kerajaan tidak akan dapat mengembangkan sumbangan cukainya kepada KDNK, jika sistem cukai tidak meliputi rantaian bekalan sepenuhnya.

Raja berkata, dengan menaikkan kadar SST mulai 1 Mac 2024 kepada 8.0 peratus berbanding 6.0 peratus, Kementerian Kewangan menganggarkan tambahan RM3 bilion hasil pada tahun depan.

Kadar baharu ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta serta logistik, tetapi skop perkhidmatan bercukai diperluaskan merangkumi pembrokeran, pengunderaitan dan karaoke, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2024 pada tahun lepas.

Beliau mencadangkan Malaysia mengenakan cukai ke atas perkhidmatan kesihatan, pendidikan swasta, penyewaan hartanah komersial dan infrastruktur bagi meluaskan skop cukai, sekali gus meningkatkan pendapatan negara.

"Saya fikir kita bergerak lebih ke arah cukai penggunaan yang boleh dipercayai dan kita berharap apabila ekonomi bergerak naik, sumbangan cukai tidak langsung akan bertambah tetapi untuk mempunyai sistem pengagihan cukai yang baik, kita perlu mempunyai infrastruktur yang berkesan, penguatkuasaan yang wajar dan komunikasi yang jelas termasuk ketelusan kepada pelabur," katanya.

Secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil pada 2024 menokok 1.5 peratus kepada RM307.6 bilion, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 10:25 AM