Kalam Salan di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
Kalam Salan di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencuri tumpuan Dewan Rakyat dengan memberikan peringatan kepada kerajaan menggunakan bait lagu 'Misteri Mimpi Syakila' yang dipopularkan oleh kumpulan rock terkenal, Wings.

Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) turut menyanyikan bait lagu itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 pada sesi petang.

Beliau menyanyikan lagu itu sebagai sindiran agar Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sekadar janji, sebaliknya ia perlu ditunaikan.

"Lagu ini liriknya menceritakan kisah seorang lelaki yang memuji kekasihnya bernama Syakila... masa belum dapat bukan main lagi.

"Biarpun engkau menjelma di sini aku berdiri, ku menanti. Walau hilang ceritamu dihati tetap abadi sentuhanmu... itu sebelum dapat.

"Tapi bila sudah dapat rakyat datang tanya... mana Syakila, siapa Syakila... sekali dia jawab, aku pun tak tahu," katanya.

Nyanyian bersahaja dibuat oleh Kalam itu kemudiannya disambut ketawa

oleh Ahli Parlimen di blok pembangkang.

Beliau juga terdahulu membuat sindiran dalam perbahasannya dengan nada bertalkin termasuk mengaitkan janji yang pernah dibuat parti-parti dalam kerajaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ia termasuklah mengenai isu pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pengukuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak.

"Harga minyak turun itu adalah benar, menghapuskan hutang PTPTN itu adalah benar, pendidikan percuma itu adalah benar. Dan ingatlah selepas ini akan datang kepada kamu rakyat di kawasan masing-masing.

"Tapi janganlah kamu terkejut, takut atau gentar kerana mereka juga adalah makhluk Allah seperti kamu juga. Apabila mereka bertanya, maka jawablah dengan jelas dan lancar.

"Sudahkah kamu kukuhkan nilai ringgit? Jawablah sudah. Sudahkah kamu turunkan harga minyak? Jawablah sudah. Sudahkah kamu hapuskan hutang PTPTN sepertimana kamu berkempen? Jawablah sudah. Sudahkah kamu beri pendidikan percuma? Jawablah sudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 4:21 PM