ABDUL Hadi  pada Muktamar Tahunan PAS. FOTO Saifullizan Tamadi
ABDUL Hadi pada Muktamar Tahunan PAS. FOTO Saifullizan Tamadi
Suzalina Halid


Shah Alam: Lima kepimpinan tertinggi Pas sedia ada termasuk Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang mengekalkan kedudukan mereka bagi sesi 2023 hingga 2025 selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada Muktamar Tahunan Pas ke-69, di sini, hari ini.

Turut diumumkan menang tanpa bertanding ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan tiga lagi Naib Presiden iaitu Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Abdul Hadi mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden Pas selama 20 tahun selepas mengambil alih jawatan itu pada 2003.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor antara 18 pemimpin yang menang dalam pemilihan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) bagi sesi kali ini.

Muhammad Sanusi memperoleh 1,098 undi, diikuti Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari (1,042) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok Muhammad Khalil Abdul Hadi (1033).

Senarai 15 lagi pemimpin yang menyertai barisan AJK ialah Dr Azman Ibrahim, Dr Halimah Ali, Khairil Nizam Khirudin, Datuk Ahmad Marzuk Shaari, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, Datuk Awang Hashim, Dr Riduan Mohamad Nor, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim dan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Selain itu, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Kamaruzaman Mohamad, Dr Najihahtussalehah Ahmad, Misbahul Munir Masduki, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Dr Rosni Adam.

Turut menang tanpa bertanding ialah Pengerusi Tetap Muktamar Pas Pusat Senator Hussin Ismail dan Timbalan Pengerusi Tetap Kamal Ashaari.

Pemilihan pimpinan Pas Pusat sesi 2023 hingga 2025 diadakan pada Jumaat lalu dengan jumlah ahli parti yang keluar mengundi ialah seramai 1,141 orang atau 84.14 peratus, daripada 1,356 ahli yang layak mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 1:50 PM