Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kekal memegang jawatan sebagai Naib Presiden Pas bagi sesi 2021-2023.

Ahmad Samsuri yang memperoleh 778 undi kekal menyandang jawatan itu bersama dua lagi penyandang Naib Presiden pada pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-67.

Dua lagi Naib Presiden Pas ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang memperoleh 1,164 undi dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan 956 undi.

ABDUL Hadi kelihatan bercakap sesuatu dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-67. FOTO Ghazali Kori
ABDUL Hadi kelihatan bercakap sesuatu dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-67. FOTO Ghazali Kori

Calon baharu yang sebelum ini ialah AJK Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki tewas selepas memperoleh 623 undi.

Keputusan itu diumumkan wakil jawatankuasa pemilih Mohd Norkhuzaini Ab Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu.

Seramai 1,299 perwakilan layak mengundi dengan 1,221 undian diterima melalui e-voting.

Sementara itu, 18 AJK Pas Pusat yang baharu adalah Muhammad Khalil Abdul Hadi (884 undi); Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (877 undi); Kamaruzaman Mohamad (872 undi); Senator Ir TS Khairil Nizam Khirudin (844 undi); Dr Riduan Mohamad Nor (841 undi); Datuk Iskandar Abdul Samad (822 undi); Dr Halimah Ali (774 undi); Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (736 undi); Datuk Ahmad Marzuk Shaari (707 undi); Datuk Mohd Nassuruddin Daud (706 undi) dan Dr Najihahtussalehah Ahmad (695 undi).

Turut memenangi jawatan AJK Pas Pusat ialah Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (688 undi); Dr Azman Ibrahim (679 undi); Nasrudin Hassan (645 undi); Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (615 undi); Dr Ali Akhbar Gulasan (613 undi); Datuk Dr Mahfodz Mohamed (609 undi) dan Dr Rosni Adam (609 undi)

Terdahulu, seramai 36 calon merebut 18 jawatan berkenaan pada pemilihan parti.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu.

Seterusnya, Husin Ismail dan Kamal Ashaari juga menang tanpa bertanding bagi mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

Turut menang tanpa bertanding Md Shukor Aziz dan IR Mohd Najib Ahmad bagi jawatan pemeriksa kira-kira.

Seramai 1,546 perwakilan mengambil bahagian pada muktamar kali ini dengan 694 menyertainya di Kuala Terengganu manakala baki secara hibrid di negeri masing-masing.

Mereka yang menghadiri muktamar kali ini meliputi 197 Yang Dipertua (YDP) kawasan di seluruh negara serta perwakilan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 1:06 PM