Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedua-dua pemimpin terbabit tidak dicabar mana-mana pemimpin bagi sesi pemilihan itu.

Menurutnya, Hussin Ismail dan Kamal Ashaari juga mengekalkan jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap selepas tiada calon yang merebut jawatan berkenaan.

Katanya, terdapat empat pencalonan bagi merebut tiga jawatan naib presiden.

"Tiga calon adalah penyandang sebelum ini iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar serta calon baharu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

"Calon kelima iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah menarik diri daripada merebut jawatan terbabit.

"Selain itu, seramai 36 calon akan merebut 18 tempat bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat," katanya dalam sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke-67, di sini, hari ini.

Takiyuddin ketika sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke-67. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Takiyuddin ketika sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke-67. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Turut hadir, Pengarah Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67, Dr Alias Razak.

Takiyuddin berkata, muktamar kali ini tidak menjemput rakan-rakan parti politik lain sama ada mempunyai hubungan dengan PAS atau sebaliknya serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita hanya membuat jemputan tertentu seperti veteran PAS dan orang tertentu dengan ucapan dasar daripada Presiden PAS yang merangkap majlis perasmian," katanya.

Menurutnya, seramai 1,546 perwakilan akan mengambil bahagian pada muktamar kali ini dengan 694 orang akan menyertai muktamar di Kuala Terengganu, selain secara hibrid di negeri masing-masing.

Katanya, mereka yang hadir pada muktamar kali ini termasuk 197 Yang Dipertua kawasan dari seluruh negara serta perwakilan di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 2:23 PM