Tinjauan harga telur mengikut gred sebelum harga telur diumumkan naik oleh kerajaan pada 30 Oktober di sekitar Pasar Chow Kit . FOTO NABILA ADLINA AZAHARI
Tinjauan harga telur mengikut gred sebelum harga telur diumumkan naik oleh kerajaan pada 30 Oktober di sekitar Pasar Chow Kit . FOTO NABILA ADLINA AZAHARI
Suhanna Iskandar dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Pelaksanaan apungan harga ayam dan telur bakal diumum kerajaan pada 30 Oktober ini mendapat pelbagai reaksi terutamanya golongan peniaga dan pembeli.

Peniaga telur, Nurul Abdul Latif berkata, harga telur pada masa kini masih tidak menentu.

"Peniaga perlu terus menjual telur walaupun jangka naik turun, harga tidak tetap dan pelanggan terpaksa beli untuk kegunaan mereka.

"Pembekal mengalami kesusahan kerana disekat oleh 'kartel' jadi telur ayam tidak banyak.

"Saya juga memainkan peranan sebagai suara rakyat kerana saya tahu para peniaga juga susah," katanya.

Nurul berkata, pelanggannya bukan sahaja dari kawasan Kuala Lumpur tetapi dari Kelantan dan Terengganu kerana kekurangan stok telur di sana.

"Harga ayam sekarang juga sama, tiada harga kawalan dan tidak menentu sama ada naik atau turun.

"Peladang ayam turut terjejas disebabkan harga dedak ayam semakin naik, jadi sebagai peniaga, saya tidak boleh buat apa-apa.

Suri rumah, Jalilah Ahmad, 59, berkata, harga ayam dan telur masih tidak memuaskan dan membebankan pengguna terutama B40.

"Kenaikan harga sangat tinggi dan tidak berbaloi dengan keadaan sumber kewangan kami yang serba kekurangan.

"Kami perlukan penurunan harga bagi ayam dan telur termasuk barangan harian lain kerana ia membebankan," katanya.

Menurut peniaga makanan, Mohammad Ajib, 53, berharap tiada kenaikan harga akan berlaku kepada barang ruji utama, telur dan ayam.

"Kami sebagai peniaga makanan pastinya menggunakan kuantiti telur yang banyak, hampir lima papan dalam masa satu hari.

"Barangan basah lain juga semakin naik dan peniaga kecil seperti kami terpaksa mendengar luahan para pembeli walaupun kami juga mengalami kesusahan dalam penyediaan bahan mentah.

"Kuantiti makanan dikurangkan adalah satu cara untuk kami sebagai peniaga tidak menampakkan kenaikan harga kepada pelanggan.

"Kawalan harga telur dan ayam ini perlu diberi tumpuan kerana ia akan memberi kesan kepada peniaga kecil seperti kami dan rakyat juga tidak terkecuali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 5:35 PM